PRN JOHOR: Penjawat awam ditahan minta rasuah RM100,000 berkaitan kerja sanitasi

Suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung kerja sanitasi pusat mengundi dalam Pilihanraya Negeri Johor 

PUTRAJAYA–Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang penjawat awam sebuah agensi kerajaan kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000 pada Jumaat lalu di sini.

Menurut sumber, pegawai berusia lewat 30-an itu disyaki meminta ‘habuan’ itu sebagai sebagai balasan memberikan projek kepada beberapa syarikat berhubung kerja-kerja berkaitan sanitasi pusat-pusat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, baru-baru ini.

“Suspek sebelum ini dipercayai pernah meminta wang lebih RM130,000 daripada seorang individu pada awal tahun ini bagi kerja-kerja berkaitan sanitasi namun individu terbabit hanya mampu memberikan wang berjumlah kira-kira RM100,000,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang bersetuju mengurangkan jumlah habuan yang diminta kemudian bertemu dengan individu berkenaan pada Jumaat lalu untuk menyerahkan wang seperti yang dipersetujui.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Dato’ Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau berkata, lelaki tersebut ditahan reman selama empat hari yang berakhir pada hari ini.

Bagaimanapun hakim Mahkamah Majistret Putrajaya, Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan lepas reman terhadap suspek dengan menetapkan jaminan SPRM berjumlah RM10,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin pada hari ini.
Next Post Previous Post