Potensi herba perlu diteroka dengan kajian mendalam, penyelidik
Kajian terhadap daun sirih ini menunjukkan kesan antipenuaan yang sangat signifikan. Gambar hiasan |
Justeru, tidak menghairankan apabila pada 2011, industri herba diiktiraf sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi negara dengan kerajaan mengklasifikasikan tumbuhan itu sebagai komoditi pertanian berpotensi di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
Malah, data Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menunjukkan industri itu yang bernilai RM17 bilion pada 2013, diunjur bertumbuh antara lapan dan 15 peratus setahun untuk mencecah RM32 bilion menjelang 2020.
Di negara ini, antara penemuan terbaharu berkaitan tanaman herba ialah khasiat mengkudu dalam merawat kanser kolorektal (CRC), hasil kajian sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) yang diketuai oleh Prof Madya Dr Nurshamimi Nor Rashid, pensyarah kanan di Jabatan Perubatan Molekul, Fakulti Perubatan.
POTENSI KOMERSIAL MENGKUDU, SIRIH
Mengulas penemuan itu kepada Bernama, Dr Nurshamimi berkata mereka berjaya membangunkan sebatian daripada ekstrak mengkudu yang dapat mengurangkan pertumbuhan sel-sel barah kolorektal dan melumpuhkan fungsi gen-gen termutasi dalam barah tersebut.
“Kebanyakan pesakit CRC mempunyai mutasi pada gen yang mengawal pertumbuhan sel dan gen yang telah bermutasi ini akan menyebabkan sel normal bertransformasi kepada sel-sel barah.
“Antara contoh gen yang biasa bermutasi bagi pesakit CRC ialah KRAS (suatu keadaan ralat yang berlaku terhadap protein dalam sel yang normal).
"Kami telah berjaya membangunkan sebatian yang berpotensi tinggi daripada ekstrak mengkudu dan menyasarkan pada gen-gen yang telah bermutasi dalam sel-sel barah CRC seperti KRAS ini,” jelasnya.
Menurutnya, penemuan itu diyakini dapat mengurangkan beban penjagaan kesihatan barah CRC yang tinggi sekarang disebabkan majoriti penghidap CRC yang datang ke hospital untuk rawatan adalah pesakit peringkat akhir dengan prognosis yang tidak baik.
Mengulas lanjut, beliau berkata kelebihan penggunaan tumbuhan herba itu dalam merawat kanser tersebut ialah ia kurang toksik terhadap sel normal dalam badan dan hanya menjurus kepada sel-sel barah.
Menurut Dr Nurshamimi, beliau dan pasukannya juga telah mempatenkan hasil kajian terhadap daun sirih sebagai antipenuaan dan antioksidan.
"Kajian terhadap kompaun daun sirih ini menunjukkan kesan antipenuaan yang sangat signifikan, dan setakat ini kami sedang mengkaji tentang proses ini dengan lebih mendalam untuk dibangunkan sebagai krim antipenuaan,” jelas beliau.
Menurutnya, kajian mereka itu berjaya memenangi hadiah khas dan anugerah emas pada Korea International Women’s Invention Exposition 2021 (KIWIE).
Beliau berkata pada masa ini pasukannya sedang menjalankan kajian di peringkat seterusnya dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Menurut belia, kedua-dua kajian tersebut mempunyai potensi komersial yang besar dan mampu menjana ekonomi.
TIDAK MENDALAM
Hakikatnya, sekalipun Malaysia merupakan penyumbang ke-12 terbesar kepada biodiversiti dunia serta keempat di Asia dan mempunyai kira-kira 2,000 spesies tumbuhan yang berpotensi dibangunkan sebagai ubat-ubatan dan terapi, negara ini adalah pengimport produk herba.
Malah, nilai purata import produk herba Malaysia meningkat sekitar empat peratus bagi tempoh 2011 dan 2017 dengan nilai tertinggi direkodkan pada 2016 iaitu kira-kira US$547 juta.
Namun begitu, nilai eksport produk herba Malaysia menunjukkan peningkatan ketara dari US$137.7 juta pada 2014 kepada US$174.8 juta pada 2017, sekali gus membayangkan kemajuan dalam industri tersebut.
Buat masa ini pengeluaran produk herba Asia didominasi oleh China menerusi produk perubatan tradisional Cina dengan nilai kira-kira US$48 bilion pada 2010 sementara eksport pula bernilai US$3.6 bilion.
Mengulas hal itu, Dr Nurshamimi mengakui kebanyakan kajian berkaitan herba yang dilakukan untuk tujuan perubatan di negara adalah terhad.
Mengambil contoh program pembangunan herba di bawah NKEA, beliau berkata kerajaan mengenal pasti 10 jenis tumbuhan herba berpotensi tinggi untuk dikembangkan penggunaannya terutama dalam bidang perubatan, makanan dan lain-lain yang diletakkan di bawah Entry Point Project 1 (EPP 1).
"Sepuluh pokok herba itu ialah tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing, dukung anak, hempedu bumi, pegaga, halia, roselle, mas cotek dan mengkudu. Namun jika kita lihat, kebanyakan kajian yang dilakukan untuk tujuan perubatan dengan menggunakan tumbuhan herba ini di negara ini, khususnya untuk kanser, adalah kurang meluas," katanya.
Menurutnya, kebanyakan kajian dilakukan hanya di peringkat luaran dan tidak secara mendalam.
COVID-19 DORONG PENINGKATAN PENGGUNAAN HERBA
Sementara itu, Pegawai Pertanian Kanan di Bahagian Pengembangan Pertanian, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia Mahani Amat melihat peningkatan penggunaan produk herba, khususnya sebagai ubat-ubatan tradisional kebelakangan ini yang mungkin ada kaitan dengan penularan COVID-19.
“Penularan COVID-19 menyebabkan masyarakat mula meletakkan nilai kesihatan sebagai keutamaan,” katanya.
Bagaimanapun beliau melihat pemasaran serta jaminan kualiti produk perlu diperkasa bagi memastikan produk berasaskan herba negara ini dapat bersaing dengan keluaran negara lain.
Katanya pembangunan produk herba juga tidak boleh dihadkan kepada bidang-bidang tertentu sahaja seperti ubat-ubatan, makanan tambahan dan kosmetik tetapi harus diperluas kepada industri lain seperti makanan ternakan.
“Sebagai contoh penggunaan daun ketum ayam (Trichanthera gigantea) sebagai sumber makanan alternatif yang popular dalam kalangan penternak ayam. Daun ketum ayam didapati mengandungi bahan protein yang tinggi dan mampu memberikan kesihatan yang lebih baik kepada ternakan.
“Kajian dan sokongan seumpama ini perlu diterokai dengan lebih mendalam dan mungkin pada masa akan datang daun ketum ayam segar boleh dihasilkan dalam bentuk pelet,” katanya dan menegaskan ketum ayam adalah berbeza dengan daun ketum yang kerap disalah guna oleh sesetengah kelompok masyarakat.
Pada masa sama, Mahani berkata tanaman herba juga boleh menjadi punca pendapatan sampingan petani menerusi penghasilan anak pokok untuk dijual kepada pengusaha.
“Jika rantaian nilai industri herba hari ini saling melengkapi, tidak mustahil Malaysia mampu menjadi hab herba terbesar di dunia kerana faktor iklim yang sesuai untuk kebanyakan spesies tanaman tumbuh dengan baik sepanjang tahun,” katanya yang mengakui menanam pelbagai tumbuhan herba seperti pokok jerangau, pegaga dan sirih di kediamannya.
-- BERNAMA