PICKids: ibu bapa perlu bayar vaksin selepas 15 Mei


PUTRAJAYA—Bayaran akan dikenakan bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) ditamatkan pada 15 Mei ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C) mengumumkan pemberian dos pertama di bawah PICKids hanya akan diberikan hingga 15 Mei ini dan tidak lagi ditawarkan selepas tarikh akhir berkenaan memandangkan permintaan rendah vaksinasi yang boleh menyebabkan pembaziran vaksin yang tinggi.

“Selepas tarikh tersebut, vaksin yang diberikan adalah secara berbayar dan jenis vaksin yang diberikan ialah Sinovac,” kata Khairy pada sidang media di sini hari ini bagi mengumumkan kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 di negara ini selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik.

Khairy berkata pengambilan suntikan terbabit boleh dibuat di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) berbayar.

Beliau berkata program PICKids tidak dapat dipanjangkan kerana ia melibatkan tarikh luput vaksin, penghantaran daripada pengeluar selain terdapat usaha untuk memperoleh lebih banyak ubat antiviral.

Dalam pada itu, Khairy berkata penularan COVID-19 di negara ketika ini berada pada tahap terkawal dengan kadar positiviti antara lima hingga 10 peratus.

Beliau berkata pelaporan berhubung penularan kes COVID-19 di negara ini tidak akan dikeluarkan secara harian bermula esok.

“Esok (Khamis) merupakan hari terakhir KKM akan mengeluarkan (pelaporan itu) dan ia akan dikeluarkan secara mingguan selepas ini,” katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post