PGA Simpang Renggam rampas diesel bersubsidi RM1.4 juta

Premis sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Taman Kota Puteri, Masai di Johor. Gambar kredit PGA

JOHOR BAHRU—Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM1.427 juta di sebuah premis di Taman Kota Puteri, Masai di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Supt Dimin Awang berkata menerusi Op Kontraban kira-kira pukul 12 tengah hari itu, tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia berusia lingkungan 36 hingga 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak dua minggu lalu dan hasil pemeriksaan ke atas dua mesin meter aliran mendapati jumlah diesel yang telah dipam ke dalam tanker telah melebihi satu juta liter.

"Siasatan awal yang dilakukan juga mendapati diesel tersebut telah dijual dengan harga RM3.85 seliter kepada pengguna kapal di sekitar Klang, Selangor dan individu di daerah Johor Bahru," katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Kementerian Kewangan menetapkan harga runcit petrol diesel bagi tempoh seminggu, bermula Khamis (14 April) hingga Rabu (20 April) pada RM2.15 seliter.

Menurut Dimin bekalan diesel itu disyaki dibeli secara pukal mengikut had ditetapkan pihak stesen minyak dengan menggunakan lori tangki kecil dan dikumpulkan di premis berkenaan sebelum dihantar ke Klang mengggunakan lori tangki besar.

Beliau berkata antara barangan rampasan ialah 51 tong lut sinar berkapasiti 1,000 liter setiap tong, empat mesin pam elektrik, diesel bersubsidi kira-kira 43,000 liter, dua set hos getah lut sinar, lori dan treler.

Katanya, kesemua barangan rampasan itu diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post