Petronas peroleh hidrokarbon pertama dari Telaga Bukit Tua Fasa 2B Indonesia

Penemuan hidrokarbon pertama projek Bukit Tua Fasa 2B akan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada sasaran Indonesia untuk mencapai satu juta tong minyak sehari menjelang 2030. Gambar arkib kredit Petronas

KUALA LUMPUR— Subsidiari Petronas, PC Ketapang II Ltd (PCK2L) telah memperoleh hidrokarbon pertamanya daripada penggerudian telaga BTJTB-T2 Fasa 2B Bukit Tua yang terletak di Blok Ketapang, luar pesisir Jawa Timur, Indonesia. 

Telaga BTJTB-T2 telah digerudi mula pada 30 Sept 2021 dan digerudi dengan kedalaman sasaran 1,890 meter. Gerudi mula adalah proses awalan untuk menggerudi telaga dalam industri minyak dan gas.

"Pencapaian ini adalah sebahagian daripada projek pembangunan keempat selepas Fasa 1, Fasa 2A dan Fasa 3 Bukit Tua. Projek ini bertujuan untuk menghasilkan 12,500 tong bersamaan minyak (boe) sehari termasuk 30 juta kaki padu standard sehari (mmscf) gas melalui pembangunan lima telaga,'' kata Petronas dalam satu kenyataan.   

Naib Presiden Eksekutif Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Adif Zulkifli berkata pencapaian itu menunjukkan komitmen syarikat dalam menyampaikan bekalan tenaga yang selamat dan boleh dipercayai ke Indonesia. 

"Penemuan hidrokarbon pertama projek Bukit Tua Fasa 2B akan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada sasaran Indonesia untuk mencapai satu juta tong minyak sehari menjelang 2030," kata Adif.   

Pengarah Presiden PCK2L, Yuzaini Md Yusof berkata: “Kami berbangga dengan keputusan positif serta komitmen penuh daripada semua pihak yang membawa kami ke arah ini. Kami mengucapkan terima kasih kepada SKK Migas, pihak berkuasa tempatan dan rakan kongsi kami atas sokongan mereka yang luar biasa sepanjang projek ini.  

Petronas adalah pengendali Blok Ketapang dan memegang 80 peratus kepentingan melalui dua anak syarikatnya, PC Ketapang II Ltd dan Petronas Carigali (Ketapang) Ltd, manakala baki 20 peratus adalah milik PT Saka Ketapang Perdana. 

Petronas juga merupakan operator di North Madura II PSC, luar pesisir Jawa Timur serta rakan usaha sama di enam blok lain yang terletak di darat dan luar pesisir di Sumatera, Laut Natuna, Jawa Timur dan Papua Barat.  

-- BERNAMA 
Next Post Previous Post