Petronas Dagangan, kerajaan bincang subsidi bahan api
Gambar arkib |
Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PDB Azrul Osman Rani berkata syarikat itu amat memahami kesukaran pada masa ini susulan peningkatan harga minyak mentah yang turut memberi impak kepada Malaysia dan negara-negara lain.
“Jika dilihat keadaan di Thailand misalnya, harga RON95 pada hari ini adalah menyamai RM5 (seliter). Di Singapura, ianya hampir mencecah RM10 (seliter).
“Sehubungan itu, wujud kebimbangan dari segi peningkatan ketara belanjawan membabitkan subsidi bahan api yang perlu ditanggung oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media mesyuarat agung tahunan PDB secara maya di sini, hari ini.
Pada awal Mac lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata kerajaan akan mengkaji semula mekanisme subsidi bahan api dan minyak masak agar ianya lebih bersasar dan menumpukan subsidi kepada kalangan golongan rentan serta mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.
Malah, Tengku Zafrul menegaskan bahawa kerajaan berkemungkinan terpaksa menampung sehingga RM28 bilion dalam bentuk subsidi bagi petrol, diesel dan gas asli cecair bagi 2022 susulan perang Rusia-Ukraine yang menyebabkan harga minyak mentah melonjak lebih US$100 setong -- paras tertinggi sejak 2014.
Mengulas selanjutnya, Azrul berkata PDB akan terus menyokong dan terus bekerjasama dengan kerajaan serta industri yang beroperasi di Malaysia.
“Bagi saya, masih ada beberapa topik perbincangan yang perlu dimuktamadkan dan kami akan bekerjasama dengan sebahagian besar daripada mereka dalam usaha memastikan satu model yang mampan, lancar serta boleh dilaksanakan oleh negara ini,” katanya.
Mengulas pembukaan semula sempadan negara sejak 1 April lepas, Azrul berkata PDB tidak menyaksikan banyak perubahan dari segi bahan api jet.
“Bagaimanapun, kami melihat peningkatan besar berbanding tahun kewangan tahun lepas dengan prestasi suku pertama yang agak baik. Masih banyak faktor lain yang memberi kesan kepada perniagaan, bukan hanya dari segi volum, tetapi juga soal pergerakan harga.
“Inilah yang perlu kami pantau secara teliti dan berharap dapat memanfaatkaan kemampuan dan infrastruktur di serata lapangan terbang antarabangsa selain berkhidmat kepada pelanggan yang memerlukan lebih banyak bahan api jet apabila lebih banyak sempadan dibuka,” katanya.
-- BERNAMA