Pesawat MH2664 patah balik ke KLIA disebabkan isu teknikal

Gambar Ihsan penumpang

PUTRAJAYA—Penerbangan Malaysia Airlines MH2664 yang dalam perjalanan ke Tawau pada Ahad, terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disebabkan isu teknikal dan keadaan cuaca yang buruk.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, juruterbang telah membuat keputusan untuk kembali ke Kuala Lumpur demi kepentingan keselamatan penumpang," kata Malaysia Airlines dalam satu kenyataan hari ini, sambil menambah pesawat itu selamat mendarat di KLIA pada pukul 5.03 petang.

“Keselamatan anak kapal dan penumpang kami adalah yang teramat penting bagi Malaysia Airlines,” kata syarikat penerbangan negara itu dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Chester Voo dalam kenyataan berasingan hari ini pula berkata pihaknya telah menerima laporan Mandatory Occurrence Report yang dihantar oleh Malaysia Airlines Bhd (MAB) berhubung kejadian itu.

Beliau berkata pesawat itu berpatah balik ke KLIA sebagai mematuhi prosedur keselamatan yang ditetapkan.

"Juruterbang dan pembantu juruterbang menguruskan isu teknikal itu dengan selamat, dan kembali ke Kuala Lumpur untuk tindakan penyelenggaraan yang diperlukan,” katanya.

 Sebagai langkah susulan dalam kejadian itu, Voo berkata CAAM akan menyemak Sistem Pemantauan Data Penerbangan dalaman MAB yang memantau dan merekod semua profil data penerbangan pesawat yang beroperasi.

"Data awal menunjukkan respons yang betul oleh krew operasi terhadap isu yang dihadapi,” katanya.

Voo berkata CAAM akan terus memantau keadaan dan tidak akan berkompromi dalam sebarang isu yang boleh menjejaskan keselamatan dan keselamatan operasi syarikat penerbangan dan orang ramai.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post