Penunggang maut motosikal terbabas bertembung lori di Jalan Astana


KUCHING—Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori di Jalan Astana pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Bingkok John berkata, dalam kemalangan sekitar jam 7.45 pagi itu mangsa dikenali Rahmat Ismail, 43 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Jelasnya, mangsa yang mempunyai lesen memandu yang telah tamat tempoh pada tahun 2016, datang dari arah Bulatan Mahkamah menuju ke arah Lorong Petra 1.

"Mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dipercayai terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 65 tahun.

"Akibat kemalangan ini, penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bingkok memberitahu, siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah dari mangsa.

Tambahnya, pemandu lori terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tegasnya lagi, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post