Penjawat awam Sarawak terima Bantuan Khas Raya dan Gawai 2022 RM500


KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk memberi Bantuan Khas sempena Aidil Fitri dan Gawai Dayak Tahun 2022 sebanyak RM500 kepada semua gred pegawai Perkhidmatan Awam Sarawak.

Berita gembira itu dikongsikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya menerusi akaun rasmi Facebooknya hari ini. 


 

Dalam kenyataan rasmi Pejabat Premier Sarawak hari ini memberitahu, Bantuan Khas tersebut akan dibayar pada bulan April, iaitu sebelum menjelang Hari Raya Aidil Fitri dan Gawai Dayak yang akan datang.

"Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan anggota Perkhidmatan Awam Sarawak dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negeri dan negara menghadapi tempoh yang penuh cabaran ini," katanya.

Tambah kenyataan itu, kerajaan juga berharap pemberian Bantuan Khas Aidil Fitri dan Gawai Tahun 2022 ini dapat meringankan beban kewangan bagi para pegawai Perkhidmatan Awam Sarawak.

Selain itu, jelasnya, pemberian Bantuan Khas juga diharap dapat menjadi insentif kepada penjawat awam Sarawak untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Next Post Previous Post