Penjawat awam rugi RM140, 000, juruwang pula RM174,000 diperdaya Macau Scam


KUCHING: Dua individu menjadi mangsa terbaharu sindiket penipuan Macau Scam yang menyaksikan kerugian masing-masing lebih RM100, 000 yang berlaku di Miri dan Mukah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Superintenden Maria Rasid berkata, kes pertama dilaporkan pada 8 April lalu melibatkan seorang
perempuan berusia awal 40-an yang merupakan penjawat awam di Miri.

Katanya, menurut mangsa, pada 14 januari 2022 beliau telah terima panggilan telefon dari seorang perempuan memperkenalkan diri sebagai “Mastura” dari sebuah syarikat insuran takaful.

"Mangsa dikatakan telah membuat tuntutan insuran takaful dan telah diluluskan oleh ibu pejabat syarikat insuran takaful tersebut di Kuala Lumpur.

"Namun, mangsa menafikan tuntutan tersebut dan kemudian telah diarahkan menyerahkan nombor akaun bank beliau kepada suspek. panggilan telefon kemudian telah disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai “Sarjan Billy” dari Balai Polis Pudu.

"Suspek kemudian mengatakan telah membuat semakan dan mendapati nama mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram, di mana wang berjumlah RM2 juta dikatakan telah masuk ke akaun bank mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, panggilan telefon mangsa seterusnya disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai “Tuan Chong” iaitu pendakwa raya untuk membolehkan mangsa menyelesaikan kes tersebut dengan membuat pembayaran wang
berjumlah RM140,000 ke akaun bank yang diberikan suspek.

Tambahnya, mangsa kemudian telah diarahkan oleh suspek untuk membuka akaun bank baru dan memberikan nombor akaun, nombor kad atm serta mendaftarkan perbankan online (akaun bank baru) di atas nombor telefon yang diberikan oleh suspek.

"Akibat panik dan cemas, mangsa telah
memasukkan wang pinjaman bank, wang gadaian barangan kemas dan wang simpanan miliknya keseluruhan berjumlah RM140,000 ke dalam akaun bank yang baru dibuka itu sebagai wang jaminan bagi menyelesaikan kes tersebut di antara 18 Februari 2022 hingga 28 Mac 2022," katanya.

Kata Maria lagi, mangsa juga dijanjikan akan mendapat kembali wang miliknya itu setelah kes selesai.

"Mangsa mula menyedari telah ditipu apabila mendapati wang berjumlah rm140,000 hilang dari akaun bank beliau dan mangsa juga gagal menghubungi nombor telefon yang diberikan oleh suspek untuk mendapatkan kembali wang miliknya," ujarnya.

Dalam satu lagi kes yang berasingan, Maria berkata, seorang perempuan berusia lewat 20-an yang merupakan juruwang sebuah syarikat swasta di Mukah turut melaporkan telah ditipu oleh sindiket macau scam yang menyamar sebagai pihak pos laju Kuala Lumpur dan pihak polis pada 9 april 2022.

Katanya, mangsa telah terima panggilan telefon daripada seorang perempuan tidak dikenali mengatakan dari pejabat pos laju Kuala Lumpur pada 7 April 2022 yang lalu.

"Suspek mendakwa terdapat barangan kiriman mempunyai kad pengenan dan kad kredit milik mangsa tidak dituntut.

"Panggilan telefon kemudian disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai “Inspektor Kho” dan suspek mengatakan kad pengenalan mangsa telah digunakan seseorang untuk membuka akaun bank yang terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram.

"Bagi menyelesaikan kes tersebut, suspek meminta mangsa membuat bayaran sejumlah wang untuk mengelakkan nama mangsa disenarai hitamkan.

"Selain itu, mangsa turut dikatakan mempunyai kaitan dengan kes jenayah melibatkan penama “Long Kek Wee” dan mangsa dikatakan akan mendapat komisyen lumayan jika membuat bayaran menyelesaikan kes tersebut," jelasnya.

Katanya lagi, akibat panik dan keliru, mangsa kemudian telah membuat pembayaran melalui 31 kali transaksi pemindahan wang keseluruhan berjumlah melebihi RM174,000 ke empat akaun bank atas individu tidak dikenali di antara 7 april 2022 hingga 9 april 2022.

"Mangsa mula menyedari telah ditipu apabila suspek masih menghubunginya dan meminta bayaran tambahan," ujarnya.
Next Post Previous Post