Peniaga berkuku panjang berniaga di Bazar Ramadan berdepan denda RM10,000 atau penjara 2 tahun


LIMBANG: Berkuku panjang, memakai jam tangan serta cincin dan gelang tangan semasa berniaga di Bazar Ramadan adalah antara kesalahan yang dikesan dalam Ops Ramadhan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 yang dijalankan pada 5 hingga 6 April lalu.

Menurut kenyataan akhbar Pejabat Kesihatan Bahagian Limbang empat notis dikeluarkan kepada empat peniaga Bazar Ramadan kerana tidak mematuhi kehendak sebagai seorang pengendali makanan, kesalahan di bawah PPKM 2009.


Dua peniaga dikenakan notis di bawah Peraturan 30 (kesalahan tidak hadir kursus pengendali makanan).

Dua orang lagi dikompaun di bawah Peraturan 33 kerana berkuku panjang dan memakai jam tangan serta cincin dan gelang tangan semasa berniaga di Bazaar Ramadhan dan setiap notis kompaun bernilai RM100. 


Kompaun-kompaun tersebut dikeluarkan oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran, Eiizabeth Sinirisan Chong.

Seramai 12 orang penguatkuasa terdiri daripada pegawai dan kakitangan Pejabat Kesihatan Bahagian Limbang menyertai Ops Ramadhan yang dijalankan di dua lokasi bazar melibatkan Lot 777 dan Night Street Market.


Sebanyak 89 buah gerai makanan dan minuman diperiksa dalam operasi tersebut yang bermula jam 2 petang hingga 5 petang.

Pegawai Kesihatan Bahagian Dr. Norliza Jusoh turut menasihatkan setiap pengendali makanan di Limbang untuk bertanggungjawab untuk menghadiri kursus pengendali makanan, mengambil suntikan Typhoid, menjalani pemeriksaan kesihatan, menjaga kebersihan diri dan memastikan premis makanan mereka sentiasa bersih dan kemas. 

 
“Ops Ramadhan seperti ini akan dilaksanakan dan diteruskan ke kawasan gerai makanan dan minuman yang berniaga di kawasan kampung.

“Semua notis kompaun perlu dibayar dalam tempoh 1 bulan. Kegagalan menjelaskan kompaun, mereka yang berkenaan boleh didakwa di mahkamah. Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RMIO,OOO atau boleh dihukum maksimum 2 tahun penjara,”jelasnya.
Next Post Previous Post