Pengguna mengeluh tepung gandum bersubsidi tiada
Pengguna di Marudi terpaksa membeli tepung gandum tidak bersubsidi yang dua kali ganda lebih mahal. |
Beberapa hari lalu, dilaporkan pengguna di Marudi mungkin terpaksa membeli tepung gandum dengan harga lebih mahal berikutan bekalan bersubsidi bahan tersebut kehabisan stok.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Miri Joe Azmi Jamil berkata pihaknya masih menunggu stok bekalan tersebut.
“Pegawai kami sudah melakukan pemeriksaan di beberapa pasar raya utama tengah hari tadi dan mendapati hanya tepung gandum bersubsidi kehabisan stok manakala bekalan tepung gandum tanpa subsidi masih banyak,” katanya dipetik Utusan Borneo pada Selasa.
Terdahulu, seorang pemilik akaun Facebook memuat naik status bergambar mendakwa Marudi kehabisan tepung gandum.
Menurut pemilik akaun itu, dia tidak dapat membuat kuih-muih sekiranya bekalan tepung gandum tiada.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datu Dr Penguang Manggil berkata, beliau maklum mengenai bekalan tepung gandum bersubsidi yang kehabisan stok.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengesahkan tepung bersubsidi tiada stok namun tepung gandum gred lain masih ada.
Semalam, Joe Azmi memberitahu bekalan tepung gandum di Marudi sudah kembali namun stok adalah terhad.
“Hanya beberapa kedai ada menjual tepung gandum bersubsidi itupun stok tidak banyak,” katanya ketika dihubungi semalam.
Harga tepung gandum bersubsidi ialah RM1.35 per paket 1 kilogram (kg) manakala tidak bersubsidi berharga dua kali ganda lebih mahal.
Bagi penduduk tempatan terutama pengusaha kuih-muih dan makanan, mereka bergantung dengan tepung gandum subsidi kerana pilihan itu dapat mengurangkan kos memandangkan harga barangan harian lain sudah naik.