Pembantu perubatan maut kemalangan
Seorang pembantu perubatan maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Sultan Tengah, dekat sini awal pagi tadi. |
Mangsa dikenali sebagai Abu Sahrin Idi, 36, beralamat dari Kampung Buntal disahkan meninggal dunia sekitar jam 7.27 pagi tadi semasa menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 5 pagi tadi, mangsa menunggang motosikal sedang bergerak dari arah Samariang menuju ke Santubong.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggangnya dipercayai telah hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta yang datang dari arah Santubong menuju ke Rampangi.
"Siasatan awal mendapati, sebelum pemandu terbabit membelok masuk ke simpang, dia telah melihat motosikal mangsa dan berhenti untuk memberi laluan. Namun mangsa telah meluru dan melanggar hadapan sisi kanan kereta sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kiri," katanya.
Akibat kemalangan itu, kata Alexson mangsa telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak dan disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan.
Sementara itu, pemandu berusia 42 tahun terbabit ditahan untuk siasatan lanjut selain mengesan saksi kemalangan untuk membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.