Pelajar Politeknik Tawau santuni 30 penghuni Rumah Orang Tua Air Panas Tawau


TAWAU—Pelajar Politeknik Tawau menyantuni warga emas dengan berkongi juadah berbuka puasa bersama 30 penghuni Rumah Orang Tua Air Panas Tawau semalam.

Dalam majlis itu, seramai 23 pelajar Semester 4 Politeknik Tawau menjayakan Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Tua di Rumah Orang Tua Air Panas Tawau. 


 

Pensyarah kursus, Alinda Minsion dalam kenyataan berkata, tujuan penganjuran program ini untuk menyantuni penghuni rumah tersebut dengan menyediakan juadah berbuka puasa di samping memberi pendedahan dan kesedaran kepada pelajar agar menghargai dan menghormati orang yang lebih tua.

"Program seperti ini sangat memberi kesan dan nilai kesedaran yang tinggi kepada pelajar.

"Selain dapat mempelajari tatacara pengurusan majlis, pelajar juga dapat mempelajari cara untuk berkomunikasi dengan lebih beradab dan ramah kepada orang tua. 



"Pengalaman seperti ini mungkin tidak dapat dirasai oleh pelajar sekiranya warga pendidik tidak memberi peluang kepada mereka untuk melaksanakannya," katanya.

Tambahnya, untuk berjaya dalam kehidupan, pelajar perlu mahir dan pakar dalam bidang akademik, tetapi nilai kemanusiaan dan beradab sopan juga perlu seiring dengan pencapaian kerana anak muda adalah tonggak masa depan negara yang makmur.

Pada majlis yang sama, beberapa sumbangan turut diserahkan kepada penghuni di situ antaranya kerusi plastik, lampin pakai buang, tisu kering dan banyak lagi sesuai dengan keperluan asas yang diperlukan.

"Dana sumbangan ini adalah hasil daripada tajaan badan agensi dan individu yang mengamanahkan pelajar-pelajar untuk merancang dan menguruskan pembelian barang sesuai dengan keperluan.

"Diharap dengan adanya sedikit sumbangan dan juadah berbuka ini dapat memberi kegembiraan kepada semua warga tua yang tinggal di rumah kebajikan tersebut dan semoga lebih ramai lagi badan-badan NGO atau institusi menganjurkan program seperti ini," ujarnya.

Next Post Previous Post