Pejalan kaki maut dilanggar kereta ketika lintas jalan


SERIAN—Seorang wanita warga emas maut setelah dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika melintas jalan di Kilometer 96, Jalan Kuching-Sri Aman, di sini malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Bingkok John berkata, kejadian sekitar jam 7.40 malam itu berlaku ketika mangsa dikenali Lian Alam, 61, berasal dari Kampung Ensebang Kuari, Serian menyeberang jalan dari arah sebelah kiri jalan menuju ke Sri Aman.

"Kemalangan berlaku semasa MPV yang dipandu seorang lelaki, 64, bersama tiga orang penumpang dalam perjalanan dari arah Serian menuju ke Sri Aman.

"Apabila sampai di lokasi kemalangan, MPV berkenaan telah terlanggar mangsa. Mangsa telah terseret dan terhumban ke seberang jalan sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, patah tangan dan kaki kanan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Daerah Serian untuk tindakan selanjutnya.

Manakala pemandu dan penumpang MPV terbabit katanya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kenderaan tersebut ditahan dan disimpan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk siasatan lanjut.

"Keadaan di lokasi kemalangan adalah gelap, tiada lampu jalan dan kemalangan berlaku di lorong sebelah kanan jalan," kata Bingkok.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post