Nenek ditahan edar dadah

Gambar hiasan kredit Unsplash

IPOH—Polis menahan seorang wanita warga emas dan merampas pelbagai jenis dadah yang bernilai RM115,750 selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Aulong Maju, Taiping, kira-kira 50 kilometer dari sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata wanita berusia 73 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Taiping pada pukul 7 malam.

"Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemukan satu bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat satu kilogram (kg) dan 30 bungkusan plastik disyaki dadah jenis heroin dianggar seberat 450 gram.

Beliau berkata keseluruhan dadah bernilai RM115,750 yang boleh digunakan oleh kira-kira 10,300 penagih dadah itu dipercayai untuk edaran pasaran tempatan, dan polis turut merampas peralatan membungkus dadah dalam serbuan.

"Semasa serbuan dilakukan hanya wanita itu sahaja yang berada di dalam rumah berkenaan, dan polis masih menjalankan siasatan untuk menentukan sama ada wanita itu merupakan pemilik sebenar dadah yang dijumpai atau sebaliknya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Menurutnya ujian air kencing mendapati suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau itu negatif dadah, dan suspek direman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu Mior Faridalathrash berkata pada hari yang sama polis menahan seorang lelaki berumur 32 tahun selepas menemukan tujuh bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 3.18 kg, bernilai kira-kira RM115,580.

Beliau berkata lelaki itu ditahan kira-kira pukul 11.45 malam di sekitar kawasan di Bandar Seri Botani di sini.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan suspek mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah," katanya dan menambah suspek direman enam hari bermula semalam.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post