Nelayan Vietnam cuba sogok APMM RM5,300 ditahan

Gambar kredit APMM

BINTULU— Tindakan seorang tekong warga Vietnam cuba menyogok penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk melindungi diri serta lima krunya tidak berjaya apabila mereka ditahan kerana menceroboh perairan negara di kedudukan 90 batu nautika dari muara Sungai Kemena Bintulu, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot nelayan asing itu ditahan sekitar jam 8 pagi semasa menjalankan aktiviti perikanan di lokasi tersebut.

Jelasnya, tangkapan tersebut dibuat hasil maklumat risikan serta aduan komuniti maritim berkenaan aktiviti pencerobohan bot nelayan asing di kawasan yang dipercayai ‘hot-spot’ di perairan Sarawak.

"Semasa rondaan rutin, Kapal Maritim (KM) Setia telah mengesan bot mencurigakan sedang leka mencuri hasil laut yang disyaki gamat oleh sekitar jam 9.00 malam Khamis lepas.

"Berdasarkan pemerhatian awal pada struktur dan nombor pendaftaran, bot tersebut disyaki bot nelayan asing dari Vietnam," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Jelasnya, menyedari kehadiran aset Maritim Malaysia, bot nelayan asing tersebut bertindak melarikan diri dari diperiksa oleh penguat kuasa.

"Berikutan itu, KM Setia mengambil masa hampir 10 jam mengejar dan memintas, sebelum berjaya menahan bot terbabit.

"Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati enam kru lelaki termasuk tekong, warga Vietnam berumur dalam lingkungan 28 hingga 37 tahun berada di atas bot berkenaan," katanya.

Menurutnya lagi, empat kru termasuk tekong mempunyai dokumen pengenalan diri manakala dua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Mohd Khairol menambah, tekong juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

"Menyedari kesalahan yang telah dilakukan, tekong telah menawarkan suapan kepada pihak berkuasa sejumlah wang RM5,300 bagi tujuan melepaskan mereka serta bot," dedahnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bot tersebut dipercayai baru berada di lokasi berdasarkan muatan yang disyaki gamat berjumlah lebih kurang tiga kilogram beserta 2,000 kilogram garam yang akan digunakan sebagai bahan pengawet bagi menjaga ketahanan gamat tersebut sebelum dibawa pulang ke Vietnam.

"Kesemua kru, peralatan menangkap ikan serta hasil rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM500,000, ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Tegasnya lagi kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk menjalankan aktiviti perikanan di perairan negara dan jika disabitkan bersalah, tekong boleh dihukum denda tidak melebihi RM6 juta dan RM600, 000 bagi setiap anggota kru terbabit.

Selain itu, katanya kes turut disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana memberi suapan kepada penguat kuasa dan jika disabitkan boleh dipenjarakan selama tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10, 000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan amat mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim.

"Untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam," katanya.
Next Post Previous Post