Menteri Pendidikan Indonesia "tembak" cadangan Ismail Sabri jadikan bahasa Melayu bahasa rasmi kedua ASEAN

Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim

JAKARTA: Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim, "menembak" cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua blok ASEAN.

Beliau menegaskan bahasa Indonesia adalah pilihan lebih baik untuk digunakan memandangkan ia merupakan bahasa kedua terbesar di Asia Tenggara dan negara tersebut memiliki populasi seramai 279 juta.

Dakwanya lagi, bahasa Indonesia juga paling banyak digunakan di Asia Tenggara, dengan penggunaannya tersebar di lebih 47 negara.

"Dengan kelebihan bahasa Indonesia, dari segi sejarah selain linguistik dan bagaimana ia sudah diiktiraf di peringkat antarabangsa, saya percaya bahasa Indonesia lebih sesuai digunakan untuk bahasa rasmi kedua ASEAN.

"Selain itu, bahasa Indonesia juga berada di hadapan sebagai perantaraan untuk mesyuarat rasmi ASEAN," katanya dipetik menerusi laporan portal berita Indonesia, Kompas Online semalam.

Nadiem berkata demikian bagi menolak cadangan Malaysia untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua blok ASEAN.

Tegasnya lagi, bahasa Indonesia juga diajar secara meluas di universiti luar termasuk di Eropah, Amerika Syarikat (AS), Australia dan beberapa negara Asia.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kementeriannya ditugaskan untuk mengembang, mempromosi dan melindungi bahasa serta sastera Indonesia, di samping meningkatkan fungsinya sebagai bahasa antarabangsa.

Memandangkan terdapat hasrat Malaysia untuk memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat ASEAN, tegasnya, cadangan berkenaan mesti dikaji dan dibincangkan secara terperinci.

"Sebagai Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, saya menolak cadangan itu tetapi memandangkan ada hasrat jiran kita untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa rasmi, sudah pasti ia perlu dikaji dan dibahaskan lebih lanjut," ujarnya.

Pada 23 Mac lalu, Ismail Sabri, berkata Malaysia akan berbincang dengan pemimpin serantau untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda pada peringkat antarabangsa.

Jelasnya bahasa Melayu akan digunakan pada majlis rasmi kerajaan di luar negara hanya apabila bahasa Inggeris bukan bahasa kebangsaan negara tuan rumah.

Semasa lawatan rasmi Ismail Sabri ke Indonesia baru-baru ini, beliau sudah memaklumkan rakan sejawatannya, Presiden Indonesia, Joko Widodo, mengenai hasratnya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan menjadikannya sebagai bahasa rasmi ASEAN.

Next Post Previous Post