MBA bantah pengurangan, tarik balik mandat biodiesel


KUALA LUMPUR—Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA) membantah langkah untuk mengurangkan atau menarik balik mandat biodiesel di Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, MBA menggesa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk berbincang dengan industri biodiesel sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Industri minyak sawit secara keseluruhannya; biodiesel huluan dan hiliran akan terjejas daripada sebarang tindakan tersebut; berikutan ia akan menyebabkan harga MSM jatuh kepada paras yang amat rendah.

“Ini, seterusnya, akan menjejaskan lebih tiga juta pekebun kecil di seluruh dunia,” katanya.

Merujuk kepada laporan Reuters semalam (25 April), MBA menjelaskan bahawa penting untuk ambil perhatian bahawa penawaran dan permintaan global minyak sayuran dikawal oleh beberapa faktor.

“Tanpa ragu, perang Rusia-Ukraine pada masa ini memburukkan lagi kekangan rantaian bekalan minyak sayuran global, berikutan Ukraine merupakan pengeluar minyak bunga matahari terbesar di dunia.

“Keputusan kerajaan Indonesia untuk melarang eksport minyak sawit bertujuan untuk melindungi pasaran minyak masak domestiknya.

“Mereka, bagaimanapun, tidak menarik balik mandat biodieselnya yang pada masa ini berada pada B30,” katanya.

Selain itu, MBA berkata begitu juga, negara lain seperti Amerika Syarikat, Argentina dan Brazil serta Kesatuan Eropah (EU) yang tidak mengemukakan sebarang cadangan untuk menarik balik program biobahan api mereka.

Menurut MBA, situasi untuk Malaysia amat berbeza berikutan negara sebahagian besarnya adalah pasaran berorientasikan eksport dengan pasaran domestik yang kecil.

“Oleh itu, Malaysia tidak seharusnya mengurangkan atau menghentikan mandat biodieselnya berikutan industri biodiesel hampir tidak menggunakan satu juta tan minyak sawit setahun; berbanding lebih 40 juta tan digunakan di seluruh dunia,” katanya.

Katanya merangka bahan api global yang seimbang berbanding dasar makanan adalah perkara yang kompleks dan strategik.

“Setiap negara perlu mengimbangi keselamatan tenaga, pertukaran asing, harga komoditi, permintaan penggunanya sendiri untuk makanan dan bahan api, serta situasi politiknya.

“Sebarang reaksi segera untuk melarang biobahan api daripada minyak sayuran akan menyebabkan gangguan dalam pasaran minyak sayuran global.

“Setiap negara perlu mengutamakan keperluannya sendiri,” menurut MBA.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post