Mayat polis cedera di kepala, rentung, ditemukan dalam bilik terbakar


TAWAU—Mayat seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 35 tahun ditemukan dengan kecederaan di kepala, dipercayai akibat tembakan di sebuah bilik di Taman King Fook, Jalan Utara di sini hari ini.

Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan rentung dalam sebuah bilik yang terbakar di sebuah rumah di taman itu pada pukul 10.35 pagi dan turut ditemukan sepucuk senjata api dipercayai milik mangsa yang terletak bersebelahannya.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat tersebut, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Setakat ini mayat mangsa telah dirujuk ke Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi pemberita malam ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Julius John Stephen berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.17 pagi.

"Kebakaran membabitkan sebuah bilik dan api dipadamkan sebelum ketibaan bomba, cuma kami terpaksa memecahkan pintu bilik selepas mendapati ia berkunci daripada dalam, satu mayat ditemukan dalam bilik itu," katanya.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post