Mancha dan isteri santuni anak mendiang Damian dan Ronwina

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Datuk Mancha Ata memangku Magdalena Damian, 2 semasa menyantuni keluarga itu semalam. Kelihatan sama Joseph Rayyan Damian, 8, dan pegawai polis yang lain. Gambar kredit FB Polis Sarawak

KUCHING—Tiga beradik yatim piatu, Elisa Olivia Damian, 10, Joseph Rayyan Damian, 8, dan Magdalena Damian, 2, menerima kunjungan Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Datuk Mancha Ata bersama isteri Datin Jennita William, di sini semalam.

Ketiga-tiga kanak-kanak itu merupakan anak mendiang Damian dan Ronwina Mambai yang berasal daripada Simunjan, meninggal dunia dipercayai akibat renjatan elektrik dalam kejadian di Taman Tringkap Puncak, Cameron Highlands baru-baru ini. 

Isteri kepada Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Datuk Mancha Ata iaitu Datin Jennita William (kiri) menyampaikan sumbangan ikhlas berupa wang tunai dan sedikit keperluan asas kepada keluarga. Gambar kredit FB Polis Sarawak

Dalam lawatan kebajikan kepada ketiga-tiga kanak-kanak tersebut, Mancha dan isteri turut menyampaikan sumbangan ikhlas berupa wang tunai dan sedikit keperluan asas.

Sumbangan disampaikan oleh Jennita di kediaman mereka di Kampung Sungai Tapang, Batu 7, Padawan.

Elisa Olivia Damian, 10, memegang gambar kedua-dua ibu bapanya semasa menerima kunjungan. Gambar kredit FB Polis Sarawak

Ketiga-tiga beradik itu kini dijaga oleh bapa saudara mereka yang juga seorang anggota polis iaitu Sarjan Boss Kinchon yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.

Selepas itu, Mancha dan isteri turut mengadakan lawatan kebajikan serta menyampaikan sumbangan kepada anggota Balai Polis Sentral Kuching iaitu Sarjan Grete Nanang yang sedang cuti sakit akibat strok di kediamannya di Puncak Borneo.

Datuk Mancha Ata dan isteri melawat dan menyampaikan sumbangan kepada anggota Balai Polis Sentral Kuching iaitu Sarjan Grete Nanang yang sedang cuti sakit akibat strok. Gambar kredit FB Polis Sarawak

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Lukas Aket serta isteri Lilin Gindip, Ketua Biro Sosial Perkep Kontinjen Sarawak serta barisan pegawai, anggota dan Perkep IPK Sarawak dan IPD Padawan.
Next Post Previous Post