Malaysia, Indonesia meterai MoU perlindungan pekhidmat domestik

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) disambut Menteri Sumber Manusia Malaysia Datuk Seri M Saravanan (dua, kiri) sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta hari ini. Gambar kredit BERNAMA 
 
JAKARTA—Malaysia dan Indonesia hari ini memeterai memorandum persefahaman bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (MoU PDI) di Malaysia.

Pemeteraian MoU itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia Joko Widodo di Istana Merdeka di sini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan mewakili Malaysia dan Indonesia diwakili Menteri Ketenagakerjaan Ida Fauziyah.

Ismail Sabri pada sidang media bersama Joko Widodo selepas menyaksikan majlis itu berkata MoU itu akan memastikan segala proses pengambilan dan mekanisme perlindungan PDI dilaksanakan secara komprehensif oleh pihak-pihak yang berkaitan, mengikut dasar dan perundangan di kedua-dua negara.

“Saluran kemasukan tunggal bagi PDI ke Malaysia dipersetujui dengan hanya menggunakan sistem saluran tunggal seperti yang terkandung dalam MoU bagi menyaring hanya majikan yang layak untuk menggajikan PDI,” katanya.

Perdana menteri turut menekankan Malaysia telah meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai komitmen negara di peringkat antarabangsa untuk membanteras isu buruh paksa, termasuk memberi perlindungan kepada pekerja migran dari Indonesia.

Dalam menjaga kebajikan pekerja domestik dari sudut perlindungan sosial, pelbagai inisiatif dilakukan termasuk caruman melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan jaminan bayaran gaji melalui e-Wages iaitu bagi menjamin pembayaran gaji tidak lewat daripada hari ketujuh setiap bulan.

Cuti rehat sehari seminggu dan aplikasi e-aduan yang membolehkan pekerja membuat sebarang aduan secara dalam talian diperkenalkan serta lain-lain kebajikan yang termaktub dalam kontrak perkhidmatan.

Pemeteraian MoU itu turut merintis kepada kemasukan semula Tenaga Kerja Indonesia untuk bekerja dalam sektor-sektor yang dibenarkan di Malaysia. 

Ismail Sabri berkata MoU yang termeterai akan memberi manfaat besar dan berpanjangan kepada rakyat Malaysia dan Indonesia.

Pemeteraian itu juga disifatkan satu detik yang besar dan penting serta mencerminkan komitmen berterusan pemerintah Malaysia dan Indonesia menguruskan hal ehwal rakyat.

"Sebagai negara tetangga, Malaysia sentiasa menghargai dan mengalu-alukan sumbangan pekerja migran Indonesia terhadap pembangunan ekonomi dan kehidupan rakyat Malaysia," katanya.

Rasa gembira turut dizahirkan Ismail Sabri memandangkan MoU itu telah melalui siri perbincangan dengan beberapa Perdana Menteri sebelum ini, namun termeterai ketika beliau menjawat jawatan itu.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post