Lim Kit Siang tolak jadi ‘mentor’ DAP

Lim Kit Siang. Kredit Twitter Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR—Bekas pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang hari ini menolak cadangan oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP supaya beliau menjadi 'mentor’ kepada parti.

Menerusi catatan dalam blognya, Ahli Parlimen Iskandar Puteri berumur 81 tahun itu mengucapkan terima kasih kepada setiausaha agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan anggota baharu CEC yang mengemukakan cadangan berkenaan, dan menambah beliau sentiasa bersedia untuk memberikan pandangan berhubung hala tuju baharu parti.

“Saya berterima kasih kepada anggota CEC dan Anthony Loke kerana mengemukakan cadangan itu. Saya sentiasa bersedia memberikan pandangan dan nasihat berhubung masa depan Malaysia dan hala tuju baharu DAP. 

Bagaimanapun sebarang kedudukan dalam parti adalah tidak perlu, sehubungan itu saya menolak cadangan berkenaan,” katanya.

Lim yang memegang jawatan setiausaha agung parti pada tahun 1969 dan pernah dilantik sebagai pengerusi kebangsaan parti dari 1999 hingga 2004 seterusnya menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Anthony Loke sebagai setiausaha agung ke enam DAP.

Pada Kongres Kebangsaan DAP ke-17 30 Mac lepas, Lim mengumumkan keputusan beliau untuk bersara daripada politik dan tidak akan bertanding lagi pada pilihan raya umum akan datang, di samping menarik diri daripada bertanding dalam CEC DAP.

Selain Iskandar Puteri, beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di Bandar Melaka (1969-1974); Kota Melaka (1974-1978); Petaling Jaya, Selangor (1978-1982); Kota Melaka (1982-1986); Tanjong, Pulau Pinang (1986-1999); Ipoh Timur, Perak (2004-2013) dan Gelang Patah, Johor (2013-2018). 

Beliau juga pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri di Kubu, Melaka (1974-1982); Kampong Kolam, Pulau Pinang (1986-1990) dan Padang Kota, Pulau Pinang (1990-1995).

-- BERNAMA
Next Post Previous Post