Lelaki tempatan ditahan, 357 kotak bunga api dan mercun dirampas
SIBU: Cawangan Risik Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu berjaya merampas 357 kotak bunga api dan mercun pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM150,500 mengikut harga pasaran di sebuah premis di Lorong Ding Lik Kong, di sini semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 10 PGA Sibu Superintenden Mohammad Hafiz Kadir berkata, dalam serbuan sekitar jam 11.45 pagi itu, pihaknya juga menahan seorang lelaki tempatan yang berada di lokasi untuk siasatan lanjut Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.
Pegawai Pemerintah Batalion 10 PGA Sibu Superintenden Mohammad Hafiz Kadir berkata, dalam serbuan sekitar jam 11.45 pagi itu, pihaknya juga menahan seorang lelaki tempatan yang berada di lokasi untuk siasatan lanjut Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.
"Premis ini disyaki dijadikan tempat penyimpanan bunga api dan mercun.
"Hasil serbuan di lokasi telah berjaya merampas pelbagai jenis bunga api dan mercun dengan jumlah keseluruhan rampasan ialah sebanyak 357 kotak dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM 150,500 mengikut harga pasaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohammad Hafiz memberitahu, bunga api dan mercun yang telah dirampas dipercayai untuk dipasarkan di kawasan Sibu dan daerah yang berdekatan
sempena perayaan Hari Raya dan Hari Gawai akan datang.
Tegasnya, rampasan dan tangkapan akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM 10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
"Kesemua rampasan dan tangkapan akan diserahkan kepada Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan dari Januari hingga April tahun ini, Batalion 10 PGA Sibu telah merekodkan 10 kejayaan operasi dengan menahan seramai 13 orang yang disyaki salah dan berjaya merampas pelbagai jenis barangan yang menyalahi undang-undang seperti rokok dan minuman keras jenis bir tanpa cukai, kayu balak, dan minyak diesel bersubsidi dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM3.3 juta.
Justeru, beliau menyeru kepada orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban di pasaran melalui talian hotline 084-211411 Pejabat Risik Batalion 10 PGA Sibu.