Lelaki rogol isteri rakan yang sarat mengandung dipenjara 15 tahun, tiga sebatan
Tertuduh Zul Hafiqhafizi Zakaria dipenjara 15 tahun dan tiga sebatan. Gambar kredit Sinar Harian |
Memetik laporan Sinar Harian yang disiarkan mStar, Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh, Zul Hafiqhafizi Zakaria, 25, selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, Zul Hafiqhafizi didakwa merogol mangsa berusia 26 tahun kira-kira pukul 4.20 pagi di sebuah rumah di Merlimau pada 21 Januari 2022.
Dia didakwa di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ke atasnya diringankan.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari memohon agar tertuduh dikenakan hukuman lebih berat dengan mengambil kira tertuduh merupakan kenalan suami mangsa dan tahu suami wanita itu sedang menjalani hukuman penjara.
Beliau memberitahu, semasa kejadian itu mangsa sedang sarat mengandung dan jenayah dilakukan meninggalkan kesan trauma serta gangguan emosi sehingga wanita tersebut kini malu untuk berhadapan dengan keluarga terutama suaminya.
Berikutan itu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu 24 Januari lalu dan dikenakan tiga sebatan.
Mengikut fakta kes, mangsa yang sedang tidur tiba-tiba didatangi tertuduh yang menutup muka menggunakan kain putih.
Tertuduh kemudian mengugut mangsa menggunakan pisau dan menyuruhnya menanggalkan pakaian sebelum memperkosanya.
Difahamkan ketika kejadian wanita itu sedang sarat mengandung tujuh bulan dan tinggal seorang diri kerana suaminya sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.