Lelaki dari Niah ditangkap disyaki rogol anak saudara berusia 14 tahun hingga mengandung

Polis menahan suspek disyaki merogol anak saudara berusia 14 tahun hingga mengandung di Niah

MIRI—Seorang lelaki diberkas polis pada Selasa selepas dipercayai merogol anak saudaranya yang berusia 14 tahun hingga mengandung.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Mohd Sabri Zaino berkata, suspek berusia 49 tahun ditangkap oleh anggota RCJ Batu Niah dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitar jam 5.15 petang.

Jelasnya tangkapan itu susulan laporan polis yang diterima berhubung kejadian berkenaan daripada ibu mangsa.

"Suspek telah dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut," katanya dipetik menerusi laporan The Borneo Post hari ini.

Tambahnya, ibu mangsa telah membawa mangsa untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital selepas mendapati anaknya berkelakuan pelik.

"Selepas menjalani ujian kesihatan di daerah Lundu pada 10 April, mangsa telah disahkan mengandung lapan bulan," jelas Sabri.

Difahamkan, ibu mangsa dan mangsa terpaksa ke Lundu dan membuat laporan polis di situ kerana didakwa menerima ugutan daripada suspek.

Kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Next Post Previous Post