KPDNHEP Sri Aman sita 9,800 liter diesel dan lori di Roban


ROBAN-- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sri Aman berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan 9,800 liter minyak diesel bersubsidi di sebuah tapak pembinaan di Roban, Saratok semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDNHEP Sri Aman Al Redzamani Abdul Razak, kejayaan itu hasil daripada satu kes serahan oleh Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarikei dalam serbuan yang dilakukan ke atas tapak pembinaan berkenaan yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi. 


"Serbuan dilakukan oleh Pasukan Polis Marin mendapati terdapat sebuah lori sedang mengisi minyak dan telah membuat pengisian minyak diesel dianggarkan lebih RM600.

"Polis Marin telah meminta pengurus tapak mengemukakan sebarang surat kebenaran
atau lesen dan permit daripada pihak KPDNHEP walaubagaimanapun gagal mengemukakannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 9,800 liter di dalam skid tank yang anggarannya bernilai lebih RM21,000. 


Berikutan itu, tegasnya, minyak diesel, lori diesel berjenama Nissan, tangka minyak, kunci lori, nozel dan pump meter telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM 41,000," tambah Al Redzamani.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, seorang lelaki warga tempatan berumur 59 tahun yang mengaku sebagai Pengurus Projek telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut bermula daripada pembekal sehinggalah ke peringkat pembeli," tegasnya. 


Sehubungan itu, katanya, KPDNHEP memberikan amaran keras ke atas mana-mana pengusaha stesen minyak atau mana-mana syarikat pemborong sekitar Bahagian Sri Aman dan Bahagian Betong termasuk Daerah Saratok ini agar mematuhi perundangan.

"Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000 bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 2,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 5,000,000," katanya lagi.

Justeru, beliau berkata kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen mana-mana stesen minyak atau mana-mana syarikat pemborong yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan.

"Masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan
memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak diesel ini bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada rakyat dan negara," ujarnya.

Jelasnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyelewengan minyak diesel bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000 atay Portal Aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my atau Call Centre 1-800-886-800 atau Emel. e-aduan@kpdnhep.gov.my atau Ez ADU KPDNHEP.
Next Post Previous Post