Kongsi suapan RM40 juta


PETALING JAYA: Habuan RM40 juta daripada syarikat subkontraktor yang mempunyai kaitan dengan projek RM2.3 bilion dipercayai diterima seorang eksekutif muda Petronas yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Memetik laporan Utusan Malaysia, lelaki berusia 35 tahun itu turut dikatakan berkongi keuntungan yang diperoleh bersama-sama bekas rakan sekerjanya yang juga pernah bertugas dengan syarikat GLC berkenaan.

 
Malah, wang tersebut juga dikatakan digunakan untuk membeli tanah di Pahang bernilai RM450,000 sebelum membina sebuah banglo dengan kos pengubahsuaian mencecah RM1.4 juta.

Sumber Utusan Malaysia mendedahkan, eksekutif muda yang bertugas di Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) telah meminta rakannya yang juga salah seorang daripada lapan suspek awam yang ditahan SPRM untuk berhenti kerja di syarikat GLC berkenaan dan membuka sebuah syarikat pada 2016.

"Projek-projek yang diperoleh daripada kontraktor utama kemudiaan akan diberikan sebahagiannya kepada syarikat subkontraktor milik rakannya itu.

“Keuntungan yang diperoleh akan dibahagi sama rata mengikut bayaran yang diterima melalui projek sub berkenaan.

"Hasil siasatan SPRM mendapati setiap projek keuntungannya adalah 25 hingga 35 peratus,” kata sumber itu di sini hari ini.

Kata sumber itu lagi, akaun yang dibekukan ketika ini melebihi 1.5 juta melibatkan akaun milik pegawai eksekutif berkenaan dan semakan SPRM juga mendapati terdapat aliran wang tunai dikesan hingga ke luar negara.

Selain itu, katanya, suspek juga membeli tanah untuk mendirikan sebuah banglo, bagaimanapun pembinaan berkenaan masih terbengkalai.

Sebelum ini, syarikat minyak milik negara, Petronas mengesahkan seorang daripada eksekutif peringkat rendahnya telah ditahan SPRM kerana disyaki terlibat rasuah.

Terdahulu, SPRM dalam satu kenyataan di sini semalam memberitahu seorang daripada sembilan individu yang ditahan bagi membantu siasatan isu rasuah berhubung projek di syarikat GLC berkenaan merupakan eksekutif muda bukannya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) seperti dakwaan segelintir pihak.

Kata kenyataan itu, suspek merupakan antara sembilan individu termasuk dua di Sarawak ditahan agensi itu sejak 8 Jumaat lalu sehingga hari ini.

Susulan daripada penahanan tersebut, beberapa sitaan dilakukan antaranya melibatkan 10 buah kenderaan mewah pelbagai jenama, pelbagai mata wang tunai melebihi RM27,000, lebih 50 barang kemas pelbagai jenis termasuk jongkong emas.

Turut disita adalah 15 jam tangan mewah pelbagai jenama, 13 beg tangan mewah pelbagai jenama serta membekukan 12 akaun syarikat dan individu.
Next Post Previous Post