‘Khemah Besar’ tidak merangkumi UMNO, Bersatu dan PAS, Mat Sabu

Mohamad Sabu (Gambar arkib)

KUALA LUMPUR— Parti Amanah menghormati dan meraikan perbezaan pandangan pelbagai pihak mengenai pendekatan 'Khemah Besar' sebagai pendekatan politik Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun kefahaman tepat perlu sebelum perbincangan diadakan.

Presidennya Mohamad Sabu dalam kenyataan hari ini berkata pendekatan 'Khemah Besar' yang dianjur Amanah tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan iaitu UMNO, Bersatu atau PAS.

Beliau berkata penyatuan pembangkang amat perlu dalam mengusahakan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Ke arah ini Amanah akan berusaha membanyakkan kawan demi menghadapi lawan yang sama iaitu Barisan Nasional dan juga Perikatan Nasional.

"Bagi yang membuat keputusan bahawa PRU15 tidak akan dimenangi, usaha sebegini sememangnya tidak perlu. Usaha untuk kalah adalah jauh lebih mudah dari berjuang untuk menang," katanya. 

-- BERNAMA
Next Post Previous Post