Ketek ajak, semua ada - Abang Johari


KUCHING: Perkataan 'ketek' atau klik yang menjadi popular di media sosial sejak akhir-akhir ini bukanlah satu kata-kata kosong tetapi realiti kehidupan masa kini yang mengalami transformasi ke arah digital.

Menjelaskan ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, suasana kehidupan pada masa kini amat bergantung kepada teknologi digital.

Jelasnya, Sarawak akan meneruskan agenda pembangunan ekonomi digital dalam usaha memenuhi keperluan rakyat di negeri ini.



"Apabila kita sudah ada infrastuktur digital, nak bayar pakir, apa-apa bil, boleh diselesaikan di hujung jari. Apa yang anda perlu untuk membuat pembayaran adalah menggunakan SPay Global (dulu dikenali Sarawak Pay).

"Apa sahaja yang anda mahu, kamu hanya 'ketek ketek semua ada'," katanya ketika berucap merasmikan stesen minyak bersepadu Petroleum Sarawak (PETROS) di Darul Hana di sini hari ini.



Tambahnya, inilah cara hidup baharu pada masa hadapan yang mana semuanya adalah dilakukan secara digital.

Mengimbau pertama kali beliau memperkenalkan dasar ekonomi digital, Abang Johari berkata ia mendapat kritikan daripada ramai.

Malah, katanya ada juga mempersendakan usaha tersebut yang pada akhirnya berjaya dibuktikan sehingga menutup mulut pengkritik.



"Selepas lima tahun dan semasa pandemik (COVID-19) semua kritikan itu adalah tidak betul," ujarnya.

Selain itu, Abang Johari juga memberitahu jumlah penggunaan kereta elektrik di Sarawak akan meningkat bagi tempoh 2030 hingga 2050 apabila syarikat kenderaan menukarkan perniagaan mereka dari mengeluarkan kereta menggunakan petrol kepada kereta elektrik atau hidrogen.

Tambahnya, apabila ini berlaku kelak, pengguna tiada pilihan untuk mengikut perubahan tersebut.



Tegasnya, perubahan itu sememangnya diperlukan kerana ia adalah usaha ke arah mengurangkan pencemaran udara yang disebabkan pembebasan gas karbon dioksida demi menjamin alam sekitar yang bersih kepada generasi akan datang.

Sementara itu, mengenai stesen minyak bersepadu PETROS di Darul Hana itu, Abang Johari berkata ia menempatkan stesen pelbagai bahan bakar pertama di Malaysia menandakan satu lagi lonjakan ke arah Sarawak yang lebih progresif dan kukuh dari segi ekonomi.

Beliau memberitahu, impian seluruh rakyat Sarawak untuk mempunyai stesen minyak sendiri telah menjadi kenyataan.



"Saya percaya ini adalah visi semua rakyat Sarawak untuk melihat stesen minyak jenama PETROS kita sendiri dan hari ini dengan pelancaran stesen pelbagai bahan api ini impian kita telah menjadi kenyataan.

"Ini adalah satu langkah ke arah membina masa depan yang mampan dalam segmen tenaga baharu kerana ia akan memulakan kepentingan kenderaan elektrik dan dalam fasa akan datang, kenderaan sel bahan api hidrogen," ujarnya.

Menurutnya lagi, stesen pelbagai bahan api ini menunjukkan keseriusan usaha Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Energy untuk memacu pengurangan pelepasan karbon yang menyebabkan pencemaran dan meninggalkan persekitaran yang bersih untuk generasi akan datang sekaligus ke arah ekonomi hijau.



“Pembangunan rangkaian stesen pelbagai bahan api ini akan menjadi infrastruktur utama untuk masa depan sifar karbon yang bersih kerana ia menggalakkan penggunaan kenderaan berasaskan elektrik dan bebas pelepasan.

“Kita harus melihat ke hadapan kerana rangkaian stesen mengisi bahan api akan menjadi tulang belakang infrastruktur untuk penggunaan kenderaan elektrik bateri dan sel bahan api dalam kita bergerak ke arah hijau,” tambahny.

Sehubungan itu, Premier Sarawak berharap rakyat negeri ini dapat melihat stesen PETROS sebagai stesen minyak masa depan dengan pengecas kenderaan elektrik seterusnya mendidik anak-anak tentang bahan api masa depan iaitu hidrogen.

Difahamkan, terdapat enam stesen PETROS akan dibina di Sarawak iaitu dua di Kuching dan satu stesen masing-masing di Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri.

Next Post Previous Post