Kesesakan Batu 10 hingga Batu 6 bakal berakhir Mei dan Jun ini - Uggah
Jaminan itu disuarakan Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang memberitahu, kerja-kerja pembinaan tiga jejambat (interchange/flyover) LPB yang dibina di laluan Batu 6, Batu 7 dan Batu 10 kini berada pada fasa terakhir.
Beliau menambah ia juga bakal dibuka kepada orang awam tidak lama lagi sekaligus akan menyelesaikan kemelut isu kesesakan aliran trafik di kawasan berkenaan.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah memaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan struktur ketiga-tiga jejambat ini telahpun siap.
"Jejambat Batu 6 dan Batu 7 dijangka dibuka kepada orang awam pada Jun manakala jejambat Batu 10 pula pada Mei," kata Uggah.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan jejambat Batu 6, Kuching Sentral di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap dengan siapnya ketiga-tiga jejambat berkenaan nanti, masalah kesesakan yang dihadapi orang ramai akan dapat diatasi.
Ketiga-tiga jejambat berkenaan merupakan antara empat jejambat (jejambat Batu 4 ½ telah siap dan dibuka kepada umum pada bulan Mei 2021) yang dibina di bawah seksyen Kuching Serian Road (KSR) Pakej Kontrak Kerja 02 Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.
Jelasnya, empat projek jejambat tersebut menelan kos RM352,966, 210.
Dalam perkembangan lain, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, kementeriannya akan sentiasa turun padang bagi memantau pelaksanaan projek-projek di negeri ini agar ia siap mengikut jadual yang ditetapkan.
"Ia sangat penting untuk memantau dengan dekat kerana kita mahu ia mencapai sasaran dan siap mengikut jadual.
"Jika kita bergantung kepada taklimat di pejabat sahaja ia tidak memadai dan tidak sama seperti mana kita lawat dan meninjau perkembangan projek di lapangan kerana kita dapat lihat situasi sebenar," katanya.
Terdahulu beliau yang turut diberi taklimat berhubung perkembangan pembinaan Jalan Utama Kedua Kuching-Samarahan di Sejingkat hari ini.
Dengan turun ke lapangan, katanya, segala masalah yang dihadapi dapat diatasi segera dengan JKR bersama kontraktor yang bertanggungjawab.
Berhubung projek Laluan Jalan Pesisir Kuching-Samarahan, Uggah berkata, ia dibahagikan kepada tiga pakej.
Pakej pertama, jelasnya, Jambatan Sejingkat menyeberangi Sungai Sarawak yang mempunyai laluan empat lorong bernilai RM365,737,131.
"Pakej kedua pula naik taraf jalan Kampung Tanjung Bako sepanjang 7.5 kilometer dengan kos RM37,499,160.
"Pakej ketiga pula adalah pembinaan jalan baharu sepanjang tujuh kilometer dari Kampung Tanjung Bako menuju ke Jambatan Batang Samarahan yang menelan kos RM81,844,554.00," ujarnya.
Menurutnya lagi, ketiga-tiga pakej itu disasarkan siap menjelang Mac 2025.
"Pakej ketiga pula adalah pembinaan jalan baharu sepanjang tujuh kilometer dari Kampung Tanjung Bako menuju ke Jambatan Batang Samarahan yang menelan kos RM81,844,554.00," ujarnya.
Menurutnya lagi, ketiga-tiga pakej itu disasarkan siap menjelang Mac 2025.