Kes tular di Kota Kinabalu: Wanita hamil curi kereta penjara 5 tahun, denda
Kereta jenis kenderaan pacuan empat roda yang dicuri tertuduh di Segama pada 12 Februari lalu. Gambar arkib |
Tertuduh, Martini Abdul Ghani, 34, dijatuhi hukuman tersebut atas tiga pertuduhan, mencuri kereta, memandu secara berbahaya dan menghalang tugas polis.
Memetik laporan The Borneo Post Online, bagi pertuduhan pertama, Martini dikenakan penjara 12 bulan selepas dia mengaku bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie atas tuduhan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang empat anggota polis menjalankan tugas mereka yang berlaku di Jalan Sepanggar 14 Februari lalu.
Mengikut seksyen berkenaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi dua lagi kes, dia dihadapkan di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles yang mensabitkan dia dipenjara dua tahun kerana mencuri kereta jenis kenderaan pacuan empat roda yang berlaku di Segama di sini 12 Februari lalu.
Martini disabitkan bersalah di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.
Tertuduh juga dipenjara dua tahun dan denda RM2, 000 atau penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda atas kesalahan memandu secara berbahaya di Jalan Sepanggar pada 14 Februari lalu.
Hukuman itu dijatuhkan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana boleh dikenakan hukuman maksimum lima tahun penjara dan denda sehingga RM15, 000 jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan ini, Martini tidak dibenarkan memiliki dan memohon lesen memandu atau bagi tempoh lima tahun daripada tarikh dia disabitkan.
Bagi hukuman penjara, tertuduh diperintah menjalankan hukuman itu dari tarikh dia ditangkap.
Sementara itu, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa sebelum kejadian curi kereta, seorang lelaki membawa tertuduh ke Segama untuk mencari bilik sewa.
Semasa lelaki itu keluar dari kereta untuk mencari bilik, dia meninggalkan kereta itu dengan tertuduh dalam keadaan enjin kereta masih dihidupkan.
Tertuduh kemudian mengambil kesempatan itu dan melarikan kereta tersebut.
Dalam rayuan untuk meringankan hukumannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam meminta hukuman penjaranya dilaksanakan secara serentak.
Dia mendakwa dirinya seorang ibu tunggal dengan lima anak dan kini sedang mengandung anak keenam.
Ketika disoal mahkamah sama ada dia mempunyai suami, tertuduh seterusnya mendakwa dia sudah bercerai dengan bapa kepada lima anaknya manakala bapa kepada bayi keenamnya ialah seorang lagi lelaki yang didakwanya tidak mengetahui dia hamil.
Tertuduh juga berkata tarikh dia bersalin dijadualkan pada Julai tahun ini dan mendakwa lima anaknya kini dijaga kakaknya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh dan memohon kereta itu dikembalikan kepada pemilik sahnya.
Kes ini mula dibawa ke mahkamah pada 23 Februari lalu.