Kes Pukul Di Sekolah: 13 pelajar tingkatan empat ditahan


ALOR SETAR—Polis menahan seramai 13 pelajar tingkatan empat sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Langkawi hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar lelaki dipukul beberapa pelajar lain yang tular menerusi satu rakaman video.

Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata seramai 12 pelajar ditahan pada 12.30 tengah hari tadi manakala seorang lagi ditahan pukul 3 petang.

“Daripada jumlah kesemua pelajar yang ditahan, lima daripada mereka merupakan rakan sekelas kepada mangsa manakala baki yang lain dari kelas berasingan. Rakaman percakapan sedang diambil bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan polis menerima satu laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun yang dipukul beberapa pelajar lain dalam satu rakaman video berdurasi 25 saat.

Kejadian yang berlaku pada 9 pagi semalam itu dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa dengan pelajar lain yang mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu pagi tadi.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post