Kerajaan negeri diberi kelonggaran guna dana MARRIS selenggara jalan

Ismail Sabri Yaakob semasa mempengerusikan Mesyuarat Kewangan Negara 2022 di Putrajaya. Gambar kredit MOF

KUALA LUMPUR—Kerajaan Persekutuan telah menambah baik pemberian dan sokongan kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk tahun ini termasuk memberi kelonggaran penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (Pemberian MARRIS) sebanyak RM5 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penambahbaikan pemberian dan sokongan kepada kerajaan-kerajaan negeri itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2022 yang dipengerusikan olehnya dan dihadiri Menteri Besar serta wakil Ketua Menteri semua negeri.

Beliau berkata kelonggaran penggunaan peruntukan di bawah Pemberian MARRIS itu adalah bagi membiayai kerja penyenggaraan, pembaikan, penggantian serta pengubahsuaian jalan, jambatan, longkang, pembentung dan cerun di jalan negeri yang rosak akibat banjir termasuk di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT). 

“Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan dengan kerajaan negeri sentiasa berada dalam tahap yang terbaik.

Hasrat ini dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk pemberian kepada kerajaan negeri pada setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan turut bersetuju untuk mengkaji semula Pemberian MARRIS serta bersedia membuat pindaan garis panduan dan perundangan yang berkaitan supaya peruntukan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan memperluaskan lagi skop perbelanjaan MARRIS merangkumi penyelenggaraan jalan seperti di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian.

Selain itu, beliau berkata peruntukan pindahan fiskal ekologi (EFT) akan ditingkatkan daripada RM70 juta kepada RM100 juta sebagai insentif khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan baharu untuk dilindungi.

"Insentif kewangan kepada kerajaan-kerajaan negeri ini adalah bagi meningkatkan usaha pemeliharaan serta pemuliharaan kawasan biodiversiti daratan dan marin," katanya.

Bagi memperkukuhkan lagi momentum pemulihan ekonomi Keluarga Malaysia, Perdana Menteri berkata caruman sebanyak RM330 juta disediakan bagi membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP).

Beliau berkata satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan ditubuhkan bagi membuat semakan semula formula pengiraan, kriteria dan kaedah pengagihan bagi Pemberian TAHAP.

"Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan keperluan negeri masing-masing," katanya.

Ismail Sabri berharap kerajaan negeri memanfaatkan sepenuhnya kesemua pemberian itu terutamanya dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terpelihara.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post