Kemajuan Pan Borneo capai lebih 80 peratus, dijangka siap suku pertama tahun depan


KUCHING: Projek Pan Borneo Sarawak kini mencapai kemajuan lebih 80 peratus dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya suku pertama 2023.

Memetik laporan The Borneo Post, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek itu sebelum ini disasarkan siap pada penghujung tahun ini namun dijangka berdepan kelewatan atas beberapa faktor.

 
Jelasnya, kemungkinan ada sedikit pakej dan seksyen yang terpaksa disiapkan dalam fasa pertama tahun depan.

Hal ini tegasnya, disebabkan kekurangan pekerja asing di mana lebih 2,000 pekerja asing diperlukan.

“Selain itu, kenaikan mendadak harga bahan binaan dan ketiga bekalan batu-batuan dan bahan binaan yang tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri di Pusat Khidmat N.7 Samariang di sini hari ini.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, Kementeriannya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan para kontraktor berusaha mencari jalan penyelesaian bagi mencapai sasaran untuk menyiapkan keseluruhan lebuh raya ini pada hujung tahun ini.

Menyentuh tentang keselamatan di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo Sarawak semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini, beliau memberitahu beberapa langkah keselamatan diambil.

Antaranya jelas beliau, kerja-kerja yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas dihentikan sementara selain mengurangkan had kelajuan daripada 90kilometer (km) sejam kepada 80km sejam.

Sementara itu, dalam majlis tersebut Fadillah mengagihkan sumbangan Aidilfitri kepada 120 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dari kawasan Samariang.

Majlis yang merupakan program tahunan Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Samariang itu turut dihadiri Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang juga ADUN Samariang. 
Next Post Previous Post