JKNS siap siaga hadapi kenaikan kes COVID-19 semasa perayaan

Gambar hiasan

KUCHING— Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) kekal bersiap siaga menghadapi risiko peningkatan kes COVID-19 semasa Hari Raya berikutan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) berkuat kuasa 1 Mei ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ooi Choo Huck berkata, antara langkah yang diambil ialah meningkatkan liputan vaksinasi COVID-19 yang tinggi di Sarawak untuk semua kumpulan sasar dan pemberian dos penggalak COVID-19 kedua kepada individu berisiko tinggi.

“Selain itu, JKNS turut menyediakan bekalan ubat antiviral COVID-19 yang telah ditempatkan di hospital dan klinik kesihatan.

“Kita turut memastikan bilangan katil ICU yang mencukupi selain Hospital Medan yang sedia ada di Hospital Sibu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Di samping itu, JKNS akan mengekalkan kapasiti ujian yang tinggi di makmal kerajaan dan swasta serta penggunaan ujian pantas antigen (RTK-Ag) sebagai ujian pengesanan COVID-19.

Beliau berharap orang ramai tidak leka dan terus mengamalkan langkah pencegahan seperti disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Langkah-langkah pencegahan yang perlu diamalkan adalah seperti, pemakaian pelitup muka apabila berada di dalam kawasan bangunan," jelasnya.

Katanya lagi, ia juga termasuk gedung membeli-belah dan pengangkutan awam serta e-hailing.

"Pemakaian pelitup muka juga digalakkan di kawasan luar bangunan terutamanya bagi individu yang bergejala atau berisiko tinggi, semasa melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko dan juga semasa berada di tempat yang ramai orang atau sesak," ujarnya.

Amalan menjaga kebersihan tangan juga harus dipelihara, tambah beliau kerana amalan tersebut membantu dalam pencegahan penyakit COVID-19 dan juga penyakit lain terutamanya penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Dr Ooi turut menggesa golongan yang layak tetapi belum menerima vaksin untuk segera ke klinik kesihatan terdekat untuk mendapatkan vaksin.

“Sebagai peringatan, tarikh akhir pemberian vaksin COVID-19 dos pertama di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) adalah pada 15 Mei 2022,” katanya.
Next Post Previous Post