Jawatan Presiden PRS bakal saksikan perebutan dua penjuru antara Salang, Sikie


KUCHING—Jawatan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) bakal menyaksikan perebutan antara Pemangku Presiden Datuk Joseph Salang dan Naib Presiden Datuk John Sikie pada Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC) PRS di Sibu minggu ini.

Memetik laporan Malay Mail yang disiarkan The Borneo Post hari ini, Ketua Penerangan PRS Christopher Gira dipetik berkata hanya dua nama tersebut telah diserahkan kepada ibu pejabat parti untuk jawatan berkenaan selepas tempoh penamaan bagi semua jawatan ditutup pada 17 April lalu.

“Bagaimanapun, terpulang kepada jawatankuasa penilaian parti untuk memutuskan sama ada perlu ada pertandingan untuk jawatan tertinggi atau tidak,” katanya.

Gira yang juga ADUN Tamin berkata, Majlis Tertinggi PRS sebelum ini memutuskan bahawa jawatan presiden tidak harus dipertandingkan tetapi satu kumpulan diketuai Sikie dikatakan mahu ia dipertandingkan.

"Sebab itu ia terpulang kepada jawatankuasa penilaian parti untuk menentukan sama ada jawatan ini dipertandingkan atau tidak," jelasnya.

Jawatan Presiden PRS kosong selepas pemergian mendiang Tan Sri James Masing, yang juga Timbalan Premier Sarawak pada tahun lalu.

Sejak itu, Salang yang merupakan Timbalan Presiden dan bekas Ahli Parlimen Julau memangku jawatan tersebut.

Sikie pula Naib Presiden PRS dan juga Menteri di Jabatan Premier Sarawak serta ADUN Kakus.

Dalam pada itu, Gira memaklumkan jawatan Timbalan Presiden juga akan menyaksikan perebutan dua penjuru antara ADUN Salamaju yang juga Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Majang Renggie dengan ADUN Pelagus Wilson Nyabong.

Tambahnya, jawatan Ketua Wanita PRS pula tidak akan dipertandingkan dan hanya nama penyandang, Datuk Doris Brodie telah diterima oleh ibu pejabat parti.

Selain itu, katanya, jawatan Ketua Pemuda PRS juga yang kini disandang Datuk Snowdan Lawan juga tiada perebutan yang pastinya akan menyaksikan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu akan dipilih semula.

Pada masa yang sama Gira berkata beliau tidak dapat mengesahkan sama ada ADUN Murum Chupkai Ugom akan bertanding jawatan berkenaan atau tidak.

Sementara itu, Nyabong, ketika dihubungi mengesahkan beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PRS.

Tegasnya, beliau akan bertanding jawatan tersebut tanpa menunggu senarai akhir jawatankuasa penilaian parti untuk kesemua calon bagi jawatan-jawatan lain dalam PRS.

Nyabong berkata, beliau telah mengadakan mesyuarat bersama perwakilan bagi menjamin sokongan terhadapnya.

TDC PRS akan berlangsung dari 21 hingga 24 April di Sibu.
Next Post Previous Post