Isu perumahan Sentoria Borneo Land jejaskan 'imej' GPS dalam persiapan PRU15


KUCHING-- Isu projek perumahan Sentoria Borneo Land yang membelenggu para pembeli, majoriti dari kalangan berpendapatan sederhana (M40) yang masih terbengkalai hingga kini berkemungkinan akan memberi kesan terhadap 'imej' Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Ini berikutan ramai dalam kalangan pembeli melahirkan rasa kecewa dan marah, bukan sahaja kepada pihak pemaju tetapi juga kerajaan negeri yang disifatkan mereka 'masih tidur' terhadap masalah tersebut.


Lebih menyakitkan hati para pembeli perumahan berkenaan, pelbagai usaha telah mereka lakukan termasuk membawa kes tersebut kepada Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak (TTPRS).

Malah, para pembeli juga telah mengadakan perjumpaan dengan pelbagai termasuk Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Namun, usaha itu seolah-olah tidak menampakkan hasil dan pemaju masih tetap gagal menyiapkan projek perumahan berkenaan.


Projek perumahan tersebut di bawah konstituensi Parlimen Santubong dan ini secara tidak langsung memberi impak negatif terhadap GPS dalam persiapan menjelang PRU15.

Berdasarkan rungutan para pembeli di media sosial juga menyaksikan rata-rata dalam kalangan merasakan tidak puas hati dengan 'sikap' acuh tak acuh kerajaan GPS dalam menangani isu berkenaan.

Justeru, mereka dilihat mahu memberi 'pengajaran' kepada kerajaan dipimpin GPS pada PRU15 kelak jika projek itu tidak menemukan jalan penyelesaian segera.

Kerusi Parlimen Santubong disandang oleh Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) selepas menang pada PRU14 dengan majoriti 19,485, menewaskan Mohamad Fidzuan Zaidi (PH - AMANAH).


Terdahulu, pembeli rumah di projek perumahan Sentoria Borneo Land terpaksa melupakan impian mereka untuk menyambut hari raya dalam rumah baharu pada tahun ini setelah rumah mereka masih terbengkalai.

Difahamkan, projek perumahan melibatkan tujuh fasa tersebut hanya berjaya disiapkan dan didiami pembeli di fasa 1 hingga 4, sementara fasa 5 hingga ke 7 termasuk Rumah Spektra Medium (RSM) masih terbiar.

Pembeli yang terkilan mendedahkan kepada Borneo Network hari ini, berdasarkan perjanjian jual-beli yang ditandatangani kebanyakan pembeli, pengeluaran permit menduduki (OP) adalah bertarikh pada 2019 dan 2020.

Namun begitu, sehingga kini rumah yang diimpikan memang betul-betul umpama mimpi dalam mimpi. Mereka kini menjadi mangsa apabila terpaksa membayar ansuran pinjaman bank bertahun lamanya sedangkan rumah tidak disiapkan.

Menurut salah seorang pembeli, Mohd Nazri Arpan, 35, pelbagai usaha telah diikhtiarkan oleh komuniti pembeli sehingga perjumpaan bersama menteri berkaitan juga telah diadakan. 

Bagaimanapun katanya, hasil perbincangan tampak berjalan perlahan meskipun potongan pinjaman telah bermula sekian lama dan hal ini telah menambah beban kewangan keluarga masing-masing. 


"Usaha kami (pembeli) langsung tidak dipandang seolah-olah seperti dipermainkan.

"Isu ini banyak menimbulkan kegusaran dalam kalangan pembeli kerana dalam masa sama, terpaksa berdepan bebanan hutang serta faedah pinjaman yang perlu dijelaskan," katanya ketika dihubungi #borneonetwork
Seorang lagi pembeli, Wan Rabbani, 33, mendakwa, dia dan rakan-rakan yang senasib dalam isu itu amat terbeban kerana sudah mula membayar ansuran bulanan pembiayaan bank.

"Yang terbaharu, saya ada menerima email daripada pihak LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam) menyatakan pembayaran sedang dilakukan kepada pihak pemaju.

"Sedangkan sejak sekian lama, projek tersebut masih terbengkalai.

"Mereka (LPPSA) memaklumkan menerima maklumat daripada pihak pemaju berkemungkinan ada penambahan peratusan kesiapan rumah itu, sebaliknya apa yang saya lihat, cuma beberapa orang sahaja pekerja kelihatan di tapak binaan.

"Kami jadi buntu, semua pihak berkaitan telah dirayu, dimohon untuk membantu menyelesaikan masalah ini namun tiada perkembangan positif yang kami terima.

"Saya merayu belas ihsan kerajaan negeri agar dapat membantu kami yang amat terkesan dengan masalah ini sejak tiga tahun lepas," katanya yang membayar hampir RM1,000 setiap bulan sedangkan rumah sudah 3 tahun di belakang jadual, serta tidak menampakkan usaha untuk disiapkan.

Sementara menurut seorang lagi pembeli yang hanya ingin dikenali sebagai Imah yang berusia 30 an, masalah kelewatan ini sudah banyak kali diajukan kepada pemaju tetapi tiada tindakan.

Ibu tunggal kepada tiga cahaya mata ini menzahirkan perasaan hiba apabila melihat keadaan rumah yang kini rumput sekitar semakin meninggi di samping kelewatan projek menyebabkan dia terpaksa menampung komitmen yang tinggi setiap bulan.

"Semasa awal pembelian, sudah fikir dekorasi, warna, ubahsuai dan sebagainya. Kini, yang penting rumah siap dan dapat kunci rumah.

"Sepatutnya saya dan anak-anak boleh menduduki rumah ini pada 2019, tetapi janji tinggal janji walaupun sudah masuk tiga kali raya Aidilfitri," katanya.

Next Post Previous Post