Intai jiran perempuan pakai baju tidur, lelaki didenda RM2,000
Memetik laporan Utusan Borneo hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Zubaidah Sharkawi selepas tertuduh, Ahmad Zaidi Abdl Ajid, 26, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Pada masa sama Majistret Zubaidah juga memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam, untuk dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.
Berdasarkan pertuduhan, Ahmad didakwa mengaibkan kehormatan mangsa,berusia 28 tahun dan menceroboh privasi mangsa dengan cara mengintainya menerusi tingkap bilik tidur ketika dia sedang memakai baju.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 November 2020, sekitar jam 9.18 malam di kediaman mangsa yang terletak di Kampung Sungai Midin, Jalan Bangau, di sini.
Mengikut keterangan kes, mangsa dikatakan selesai mandi dan hendak memakai baju di bilik tidurnya sebelum dia ternampak bayang-bayang tangan seseorang di luar tingkap bilik.
Mangsa kemudian menyingkap langsir dan mendapati jirannya (tertuduh) yang tinggal di hadapan rumah sedang mengintai mangsa.
Malah, perbuatan terkutuk tertuduh itu juga disaksikan oleh kakak mangsa pada hari kejadian.
Kejadian sebegini pernah terjadi pada 2018 dan mangsa melaporkan bahawa tertuduh pernah mengintai mangsa semasa dia sedang mandi.
Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.