Ibu rayu bantu cari anak hidap sakit mental hilang
Sia Kiong Hui,34 dilaporkan hilang sejak Isnin lalu. |
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Dr Collin Babat berkata, Sia Kiong Hui berusia 34 tahun disedari hilang sekitar jam 4 pagi Isnin oleh ibunya, 67, semasa bangun dari tidur dan hendak mengejutkannya.
Katanya, ibu wanita terbabit mendapati anak perempuannya tiada di dalam bilik tidur dipercayai telah keluar dari rumah.
"Ibu wanita tersebut bersama keluarga telah berusaha mencari mangsa namun sehingga laporan ini dibuat mangsa belum balik ke rumah.
“Keluarga yang risau akan keselamatannya kemudian “membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut ibunya, mangsa merupakan pesakit mental dan kemurungan serta pernah mendapat rawatan psikiatri di hospital kerajaan.
"Ciri-ciri mangsa adalah tinggi 160 sentimeter, berat badan anggaran 45 kilogram, mempunyai bentuk muka bujur, berbadan sederhana, kulit cerah dan berambut panjang warna hitam.
"Mangsa adalah anak bongsu daripada empat orang adik-beradik. Tidak mempunyai pekerjaan dan tinggal bersama dengan ibu bapanya," ujar Dr Collin sambil menambah mangsa juga tidak mempunyai telefon bimbit.
Katanya, berdasarkan semakan Integrated Police Reporting System (IPRS), mangsa pernah dilaporkan hilang pada 2017 namun kemudian pulang ke rumah.
Menurut ibu mangsa, kali terakhir mangsa dilihat memakai baju tidur berwarna putih dengan bentuk coklat bulat-bulat pada baju dan berseluar tidur, memakai selipar dan tidak membawa sebarang dokumen peribadi.
"Usaha mencari di persekitaran kawasan Kampung Sentosa dilakukan tetapi mangsa gagal dijumpai," jelasnya.
Difahamkan tiada sebarang masalah yang terjadi sebelum ini dan mangsa tidak pernah bertengkar dan mempunyai hubungan baik dengan ibunya.