Harga tiket AirAsia masih berpatutan
Ketua Pegawai Komersial Airasia Tan Mai Yin (kanan) dan Datuk Joniston Bangkuai semasa menerima ketibaan penerbangan antarabangsa pertama Airasia ke Sabah dari Singapura semalam. |
Ketua Pegawai Komersialnya, Tan Mai Yin berkata, pihaknya komited dalam menyediakan perkhidmatan penerbangan pada harga berpatutan kepada semua penumpang dengan menambah lebih banyak kapasiti bagi memenuhi permintaan pelanggan.
"Kami komited untuk menyediakan penerbangan yang berpatutan kepada semua penumpang tetapi sebenarnya ia adalah sangat biasa apabila ia datang ke harga dinamik, di mana kami sentiasa menggalakkan semua penumpang untuk menempah seawal mungkin.
“Berdasarkan jualan tiket kami untuk bulan April dan Mei, lebih daripada 50 peratus tiket kami antara Kuala Lumpur ke Sabah atau Kuala Lumpur ke Sarawak adalah kurang daripada RM500 untuk tiket pergi balik.
“Walaupun harga kompetitif tetapi masih mampu milik (berpatutan),” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu selepas ketibaan penerbangan antarabangsa pertama ke Sabah dari Singapura yang dikendalikan oleh AirAsia pada Sabtu.
Beliau mengulas peningkatan mendadak harga tiket penerbangan ke Sabah oleh syarikat penerbangan yang menarik perhatian kementerian persekutuan dan negeri baru-baru ini.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini menggesa kerajaan persekutuan meneliti isu harga tiket penerbangan ke negeri itu terutamanya ketika tiba musim perayaan dan mengambil langkah penyelesaian.
Pada Jumaat, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, beliau ambil maklum tentang aduan peengguna dan meminta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia dan syarikat penerbangan menangani isu peningkatan harga tiket.
Ketika ditanya sama ada AirAsia mempunyai pelan untuk mengurangkan harga tiket terutamanya ketika muaim Hari Raya, Tan berkata, syarikat itu kini sedang meneliti bagaimana cara menguruskan permintaan dan pada masa sama cuba menambah kapasiti yang mampu.
"Apa yang kita lihat adalah bagaimana kita hendak memastikan kita mampu menguruskan permintaan dan cuba sedaya upaya menambah kapasiti yang kita lihat boleh dilakukan.
"Apabila ia tentang penerbangan, ia masih menjadi satu cabaran kerana kos operasi telah meningkat setelah semua pesawat telah memasuki hibernasi selama dua tahun yang lalu.
"Kami perlu memastikan semua pemeriksaan dan penyelenggaraan yang betul telah dilakukan ke atas setiap pesawat sebelum kami membawanya.
"Jadi semua itu akan mengambil sedikit masa untuk meningkatkan lebih banyak kapasiti. Tetapi apabila kita berkembang, kita akan melihat bahawa kita boleh menambah lebih banyak kapasiti dan memenuhi permintaan juga,” tambahnya.
Penerbangan antarabangsa pertama mendarat di KKIA pada 2.19 petang.
Para penumpang itu disambut mesra oleh Penolong Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai.