Harga barangan subsidi mahal di pedalaman, Tiong gesa SPRM siasat
Datuk Seri Tiong semasa mengadakan lawatan ke rumah panjang di Bintulu dan bertemu penduduk berhubung isu semasa yang menghantui mereka |
Beliau yang juga Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Republik Rakyat China itu sebagai memberikan maklumbalas terhadap rungutan penduduk rumah panjang yang terbeban dengan kadar harga barangan keperluan yang jauh lebih mahal apabila sampai di kawasan hulu.
"Isu harga barangan mahal ini sudah berlarutan sejak sekian lama dan sudah sampai masanya tindakan drastik diambil bagi menyelesaikannya dengan cara baik dan memuaskan hati semua pihak," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kerajaan jelasnya telah memperuntukkan lebih RM100 juta setahun bagi menyediakan elaun pengangkutan dan kuota bekalan keperluan di pedalaman Sarawak, termasuk beras, minyak masak, tepung, gula, tong gas, minyak diesel, petrol dan lain-lain barangan keperluan.
Namun begitu katanya, harga barangan masih tinggi dan membebankan penduduk di rumah panjang serta kawasan perkampungan di kawasan pedalaman.
Justeru, bagi menyelesaikan isu ini jelasnya, agensi bertanggungjawab khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) harus tampil memberikan penjelasan munasabah punca sebenar harga barangan meningkat sehingga tiga kali ganda itu.
"Apa yang menjadi persoalan saya pada masa sekarang, adakah subsidi diesel, beras, minyak dan gula benar-benar sampai ke kawasan pedalaman ini? soal beliau.
Justeru, Tiong menyeru sekali lagi agar SPRM dapat menjalankan siasatan menyeluruh berhubung perkara ini kerana penduduk rumah panjang ingin tahu siapa sebenarnya yang menguruskan bekalan barangan ke kawasan pedalaman ini.
"Adakah anda fikir ini kawasan pedalaman, dikelilingi gunung ganang dan berada jauh dengan pusat pentadbiran kerajaan, maka anda boleh buat sesuka hati dan merasakan tiada siapa tahu? soal beliau lagi.