Guru rogol 13 pelajar hingga hamil dihukum mati

Herry Wirawan (berbaju merah) dikawal oleh anggota polis. - Gambar Jakarta Globe

JAKARTA – Padah ikut nafsu serakah, seorang bekas guru dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Indonesia kerana merogol 13 pelajar perempuan di sebuah sekolah agama berasrama penuh (pesantren).

Memetik laporan Reuters yang disiarkan MalaysiaGazette, Herry Wirawan, 36, sebelum ini dikenakan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah di Bandung pada Februari lalu namun pendakwa raya telah memfailkan rayuan untuk hukuman mati terhadapnya.

Berdasarkan keputusan hakim pada Februari lalu, Herry yang juga pemilik sekolah agama tersebut didapati bersalah merogol 13 pelajarnya yang berusia lingkungan 16 hingga 17 tahun beberapa kali sejak 2016 di beberapa sekolah tempat dia mengajar dan mengakibatkan lapan mangsanya hamil.

Selain itu, Mahkamah Tinggi Bandung juga memerintahkan Herry membayar sejumlah  IDR300 juta (RM88,094) sebagai pampasan kepada mangsa.

Difahamkan, kesemua 13 mangsanya akan menerima pelbagai jumlah pampasan.

Sementara itu, Kementerian Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak (PPPA) Indonesia menyokong gesaan untuk hukuman mati ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, suruhanjaya hak asasi manusia negara itu menentang hukuman mati yang disifatkan sebagai tidak wajar.

Untuk rekod, hukuman yang dikenakan terhadap Herry adalah hukuman paling berat yang dijatuhkan oleh mahkamah kepada seorang tertuduh yang disabitkan bersalah mencabul kanak-kanak di Indonesia.

Berdasarkan undang-undang Indonesia, perogol kanak-kanak secara amnya dikenakan maksimum 15 tahun penjara.
Next Post Previous Post