Gagal patuhi kebersihan, 8 peniaga didenda RM750
Pegawai Penguatkuasa memeriksa gerai bazar Ramadan di sekitar Bintulu. Gambar Pejabat Kesihatan Daerah Bintulu |
Pejabat Kesihatan Daerah Bintulu (PKDB) dalam kenyataan berkata, ia melibatkan kesalahan gagal menyediakan dokumen sijil latihan pengendali makanan dan rekod suntikan tifoid, tidak mematuhi kehendak pakaian pengendali makanan seperti tidak memakai topi, tidak memakai apron dan tidak memakai kasut bertutup.
“Selain itu peniaga tidak mematuhi kehendak kebersihan diri pengendali makanan seperti pengendali makanan berkuku panjang, memakai jam tangan dan memakai cincin semasa mengendalikan makanan,” katanya.
Kenyataan itu menambah, pemeriksaan kesihatan tersebut melibatkan 114 pengusaha gerai pengendali makanan di empat bazar Ramadan iaitu Bazar Ramadan Esplanade, Dinner World, RPR Kidurong dan NU Hotel
Sementara itu PKDB mengingatkan peniaga supaya sentiasa mematuhi Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 pada setiap masa bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan.
“Pegawai penguatkuasa akan sentiasa menjalankan pemantauan bazaar Ramadan dari masa ke masa bagi memastikan semua peraturan-peraturan ditetapkan sentiasa dipatuhi,” katanya.
Sebarang pertanyaan berhubung keselamatan makanan boleh dirujuk kepada Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan, Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu di talian 086-858200.