Dugaan Ramadan, sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran di Kampung Binyuk

Gambar Fb Yb Hamzah Brahim

KOTA SAMARAHAN: Tatkala masyarakat Islam lain memikirkan menu apa untuk juadah sahur, satu keluarga di Kampung Binyuk pula terpaksa memikirkan di mana untuk mereka tumpang berteduh.

Begitulah nasib mereka apabila rumah yang didiami Smawi Daud bersama keluarganya musnah dalam insiden kebakaran yang berlaku malam ini.

Dalam kejadian kebakaran itu, bukan sahaja rumah yang musnah tetapi juga kereta dan motosikalnya. 

Gambar Fb Yb Hamzah Brahim

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Sarawak berkata, kebakaran tersebut melibatkan sebuah rumah setingkat jenis tidak kekal yang berukuran 10x20 meter persegi telah terbakar 100 peratus.

"Pasukan bomba telah berjaya memadam kebakaran sepenuhnya pada jam 9.55 malam dan setelah mendapati keadaan terkawal dan selamat anggota berangkat balik ke balai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kebakaran ini tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. 

Gambar Fb Yb Hamzah Brahim

Prihatin dengan nasib yang menimpa keluarga berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim tampil ke lokasi kebakaran.

"Malam ini saya bergegas ke Kampung Binyuk Lama setelah mendapat berita bahawa ada rumah rakan kita iaitu saudara Smawi Daud telah hangus dijilat api.

"Rumahnya beserta kereta dan motosikal musnah sama sekali, namun syukur tiada kemalangan jiwa," katanya menerusi Facebook rasminya. 

 
Tambahnya, beliau turut menghulurkan bantuan kewangan secara peribadi bagi membantu meringankan beban mangsa dan keluarga.

Malah, beliau turut menyatakan akan membantu sedaya upaya mengikut kapasitinya untuk membantu keluarga tersebut.

"Diharapkan keluarga ini tabah dalam menghadapi dugaan ini," ujarnya.
Next Post Previous Post