Dua warga Indonesia seludup komponen senapang angin diberkas


LUBOK ANTU: Dua lelaki warga Indonesia diberkas selepas cubaan mereka menyeludup dua kotak komponen senapang angin dipatahkan Pasukan Gerakan Am di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia di sini pada Selasa lalu.

Memetik laporan Utusan Borneo Online hari ini Ketua Polis Daerah (KPD) Lubok Antu, DSP Victor Ripon berkata, dua lelaki berusia 31 dan 40 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan pada jam 2.15 petang.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati dua kotak yang dibawa oleh kedua-dua suspek tersebut mengandungi komponen senjata api.

"Sebuah kotak mengandungi lapan udi senjata api manakala sebuah lagi mengandungi lapan laras senjata api.

"Pemeriksaan lanjut terhadap senjata tersebut mendapati ia merupakan senjata senapang angin yang bersaiz panjang laras lebih kurang 78 sentermeter manakala udi lebih kurang 48 sentimeter," katanya.

Dedahnya lagi, lelaki warga Indonesia yang ditangkap tersebut berasal dari Badau Tengah dan Kapuas Hulu Badau, Indonesia.

"Bagaimanapun tiada sebarang peluru dijumpai hasil pemeriksaan tersebut," ujar Victor.

Berdasarkan siasatan, beliau berkata, suspek memberitahu senjata tersebut dibawa dari Indonesia untuk dihantar ke Sarawak melalui jalan yang tidak sah.

Jelasnya, kedua-dua suspek juga merupakan warga negara Indonesia melalui pengakuan yang dibuat dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Victor memberitahu, nilai keseluruhan senjata yang dirampas dianggarkan mencecah RM16,000 iaitu RM2,000 untuk selaras senapang angin.

Berikutan itu, tegasnya, kedua-dua suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Lubok Antu untuk siasatan lanjut.

Tegasnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 / 6(1)(c) dan Akta Imigresen 1959/63.
Next Post Previous Post