Dua ditahan, kapal kargo dengan muatan 130,000 liter diesel tanpa permit dirampas

Suspek bersama kapal dan minyak diesel ditahan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

SIBU-- Polis menangkap dua lelaki dan merampas sebuah kapal kargo dengan muatan 130,000 liter minyak diesel tanpa permit di perairan Durin, Sungai Batang Rajang, di sini pagi tadi.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak ACP Zulfikar Mohd Ghazali berkata, suspek terdiri daripada juragan kapal kargo, 59, dan anak kapal, 44, ditahan sekitar jam 7.30 pagi semasa Op Kontraban oleh pasukan dari Unit Risikan Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sibu. 


"Pasukan telah menahan sebuah kapal kargo berwarna merah yang mencurigakan di perairan Durin, Sungai Batang Rajang,

"Hasil pemeriksaan dan pengakuan lisan dari juragan kapal berkenaan telah mengaku membawa muatan minyak diesel lebih kurang 130,000 liter disimpan di dalam bahagian deck kapal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, juragan tersebut juga gagal mengemukan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki, menyimpan, membawa barang kawalan tanpa permit atau lesen atau kebenaran khas dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).


Kesalahan ini katanya di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, memiliki atau menyimpan atau membawa barang kawalan tanpa permit atau tanpa lesen atau tanpa kebenaran khas dari pihak KPDNHEP.

Ekoran itu, tegas Zulfikar, kedua-dua suspek bersama kapal dan minyak diesel ditahan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.


Mengulas lanjut barang rampasan, katanya, sebuah kapal kargo dianggarkan bernilai RM850,000, minyak diesel 130,000 liter dianggarkan nilai semasa RM279,500, dan empat unit hozzle hose RM2,000 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1,132,500.

"Suspek yang ditahan dan semua barang rampasan akan diserah serta dirujuk kepada Pegawai Penyiasat KPDNHEP Bahagian Sibu untuk siasatan dan tindakan selanjutnya," ujarnya.
Next Post Previous Post