Datuk maut, cucu selamat kereta terbabas
Anggota penyelamat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia berada di lokasi kemalangan. |
Dalam kejadian kira-kira jam 7.29 pagi itu, mangsa, Choo Siong Ang, 64, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sementara cucu perempuannya Venice Choo dilaporkan selamat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) berkata, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya diketuai oleh PBK II Iskandar Apet dikejarkan ke lokasi kejadian.
Keadaan kenderaan mangsa selepas kemalangan kendiri di Jalan Stutong Baru, pagi tadi. |
"Setibanya di lokasi, didapati sebuah kereta jenis Alphard v6 telah terbabas menyeberangi jalan setelah terlibat dalam kemalangan kendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, PGO berkata terdapat dua mangsa di dalam kenderaan terbabit iaitu seorang warga emas dan cucu perempuannya.
Anggota Bomba berada di lokasi kejadian kemalangan. |
"Pasukan bomba segera melakukan operasi penyelamatan warga emas tersebut yang tersepit di bahagian pemandu.
"Mangsa kemudian berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.
Sementara itu kata PGO, cucu mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan manakala jarak ke lokasi kejadian dari balai bomba terdekat adalah sekitar 7 kilometer.