DAP Sarawak mahu bersatu dengan PSB tentang GPS PRU15, rundingan diadakan esok


SIBU-- Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) akan memulakan rundingan pertama untuk menjalinkan kerjasama dalam usaha bersatu menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.

Timbalan Pengerusi DAP Sarawak Alice Lau mendedahkan, rundingan itu akan diadakan pada esok hari (26 April) bersempena persiapan bagi menghadapi PRU15.

Jelasnya, beliau sendiri bersama Bendahari DAP Chiew Chin Sing dan Setiausaha DAP Alan Ling akan mewakili parti itu pada rundingan itu nanti manakala PSB pula diwakili Presidennya Dato Sri Wong Soon Koh.

"PRU15 diadakan bila-bila masa dan berkemungkinan akan diadakan selepas Hari Raya atau Hari Gawai. Tiada siapa yang tahu bila dan sebab ini kita menubuhkan pasukan khas pada 5 April lalu dalam persiapan kita untuk berbincang tentang mewujudkan kerjasama dengan PSB untuk bersatu," katanya dipetik menerusi laporan The Borneo Post yang disiarkan MalayMail semalam.

Lau berkata perbincangkan itu kelak akan memfokuskan isu seperti ideologi parti dan calon-calon yang berpotensi.

"Kita akan lihat sejauh mana perkembangan hasil perbincangan ini nanti dan jika rundingan ini berjaya kita akan mengajak parti pembangkang lain untuk berunding bagi membentuk satu gabungan," katanya.

Ahli Parlimen Lanang itu berkata, tujuan membentuk sebuah gabungan ini adalah untuk menggelak parti pembangkang bertembung antara satu sama lain selain memecah undi pembangkang.

Tegasnya, ini jelas berlaku kepada parti pembangkang apabila bertembung semasa sendiri sekali gus memberi kemenangan kepada GPS pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) lalu.

Tambahnya, beliau akui bukan mudah untuk mendapatkan kepercayaan daripada parti pembangkang lain bagi duduk berbincang kerana kebanyakan parti politik berlainan ideologi politik.

"Tetapi kita akan mencuba dan berusaha, sekurang-kurangnya terdapat peluang untuk ia dibentuk dan mencari penyelesaian dalam kalangan parti pembangkang," jelasnya.

Sehubungan itu, Lau berharap Rang Undang-udang Anti Lompat Parti akan diluluskan di Parlimen sebelum PRU15 diadakan.

"Ini bagi memastikan peristiwa lalu tidak berulang yang menjadikan Malaysia bahan ketawa yang menyaksikan pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali dalam satu pilihan raya," ujarnya.
Next Post Previous Post