Dagangan Malaysia capai nilai tertinggi RM236.6 bilion pada Mac
Gambar hiasan |
KUALA LUMPUR— Jumlah dagangan Malaysia merekodkan pertumbuhan dua angka 27.3 peratus tahun ke tahun pada Mac 2022 untuk mencapai nilai tertinggi baharu RM236.6 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata import Malaysia melepasi paras RM100 bilion buat kali pertama, sejajar dengan lonjakan bagi barangan perantaraan, menandakan aktiviti ekonomi domestik yang lebih baik.
Beliau berkata lebihan dagangan meningkat 10.3 peratus daripada RM24.2 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM26.7 bilion, sekali gus menjadi lebihan dagangan untuk bulan ke-23 berturut-turut sejak Mei 2020.
"Eksport Malaysia meningkat 25.4 peratus daripada RM105.0 bilion kepada RM131.6 bilion, melepasi paras RM100 bilion untuk bulan ketujuh berturut-turut sejak September 2021.
“Pertumbuhan eksport pada Mac 2022 disokong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula. Eksport domestik bernilai RM106.9 bilion, menyumbang 81.2 peratus kepada jumlah eksport, meningkat kukuh 22.8 peratus tahun ke tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata eksport semula berjumlah RM24.7 bilion berkembang 38.0 peratus berbanding Mac 2021.
Mohd Uzir berkata, seiring dengan prestasi eksport, import juga mencatatkan pertumbuhan kukuh 29.9 peratus daripada RM80.8 bilion kepada RM104.9 bilion.
“Berbanding Februari 2022, prestasi jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan menunjukkan peningkatan masing-masing iaitu 28.1 peratus, 28.7 peratus, 27.3 peratus dan 34.8 peratus.
“Pertumbuhan tahunan yang sangat ketara dalam eksport digambarkan melalui 166 daripada 255 kumpulan barangan, menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, dipacu oleh injap dan tiub termionik. Bagi import, 186 daripada 259 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif,” katanya.
Mohd Uzir berkata peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM5.1 bilion), diikuti Jepun (+RM2.1 bilion), Korea (+RM1.8 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.8 bilion), China (+RM1.7 bilion), Taiwan (+RM1.4 bilion), Thailand (+RM1.4 bilion), Indonesia (+RM1.4 bilion) dan Amerika Syarikat (AS) (+RM1.3 bilion).
Sementara itu, China kembali menjadi penyumbang utama kepada peningkatan import, meningkat RM3.4 bilion, diikuti Arab Saudi (+RM2.9 bilion), Taiwan (+RM2.8 bilion), Indonesia (+RM2.5 bilion), Singapura (+RM2.3 bilion), AS (+RM1.4 bilion) dan Thailand (+RM1.2 bilion).
Mohd Uzir berkata peningkatan eksport itu didorong oleh barangan elektrik dan elektronik (+RM13.0 bilion); keluaran petroleum (+RM4.6 bilion); minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM3.1 bilion); gas asli cecair (+RM2.5 bilion); petroleum mentah (+RM1.6 bilion) dan barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.1 bilion).
Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM7.1 bilion); petroleum mentah (+RM6.1 bilion); keluaran petroleum (+RM3.0 bilion); kimia dan bahan kimia (+RM2.2 bilion); jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM1.6 bilion); biji logam dan serpihan logam (+RM1.2 bilion) dan arang batu (+RM1.2 bilion).
Menurut DOSM, bagi prestasi suku pertama 2022, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan kekal kukuh dengan pertumbuhan dua angka.
Jumlah dagangan meningkat 23.6 peratus, disokong oleh perkembangan eksport (+22.2 peratus) serta import (+25.2 peratus).
Pada masa yang sama, lebihan dagangan mencatatkan nilai yang lebih tinggi pada RM65.1 bilion.
-- BERNAMA